Buletin

INI SKRIN RENAULT CLIO BAHARU, CUKUP BESAR TAK BOSSKU?

Tahukah anda sekarang ini semacam ada satu kecenderungan untuk pengeluar kereta bersaing dalam melengkapi model mereka dengan sistem infohibur canggih dan berskrin besar?

Sama seperti saiz telefon pintar sebelum ini yang masing-masing berlumba siapa besar termasuk teknologi tanpa bingkai.

Sekarang ini skrin infohibur sesentuh dan berwarna menjadi trend, kita tunggu fungsi arahan suara menjadi arus perdana selepas Proton begitu berbangga dengannya.

Perkembangan ini sebenarnya turut menggugat pengeluar pemain multimedia aftermarket kerana pengguna tidak perlu lagi ke kedai untuk menaiktaraf set mereka.

Renault baru sahaja mendedahkan gambar interior Clio generasi baharu dan nampaknya mereka telah menetapkan satu aras baharu untuk kereta segmen B.

Lihat pada papan pemuka, ibarat sebuah tab yang dipasangkan di situ dengan saiz yang begitu menonjol sekali.

Tahukah anda berapa saiz skrin multimedia ini?

9.3 inci, tambah lagi 3 inci cukup 1 kaki tingginya. Ini lah skrin paling besar yang pernah dilengkapi dalam model keluaran Renault.

Menurut Renault, skrin menegak dan sedikit membujur ini dinspirasi dari model MPV Espace.

Skrin ini memberi efek papan pemuka yang diperbesarkan dan memberikan rasa kontemporari dan semestinya pandangan yang jelas kepada pemandu dan juga penumpang.

Skrin ini bukan setakat besar tetapi posisinya menghala kepada pemandu dan ia merupakan pusat kawalan kenderaan.

Melalui sistem sambungan EASY LINK, skrin ini mempunyai pelbagai fungsi seperti multimedia, navigasi, infohibur dan tetapan MULTI-SENSE.

Renault Clio baharu merupakan generasi kelima sejak dilancarkan pada tahun 1990.

Sehingga kini sekitar 15 juta unit Clio telah terjual di serata dunia dan merupakan model Groupe Renault yang paling laris.

Jika rakyat Malaysia ada Perodua Myvi, rakyat Perancis pula ada Renault Clio. Model ini juga adalah peneraju segmen B paling laris di Eropah dengan peningkatan jualan yang hebat sejak 2012 hingga 2018.

Satu lagi perkara menarik tentang Clio ialah dibina daripada platform Common Module Family-B Perikatan Renault-Nissan dan Mitsubishi.

Platform yang sama juga katanya akan digunakan untuk jenama lain seperti Nissan, Dacia dan Mitsubishi.

Renault Clio generasi keempat (GT Line) pernah dipasarkan di negara kita pada harga RM118,000.

BACA: RENAULT MEGANE R.S. 300 TROPHY, ENJIN 1.8 TURBO 300HP 400 NM

BACA: TIADA LAGI KERJASAMA MITSUBISHI, RENAULT, SUZUKI & HONDA. HANYA PROTON & GEELY

Google ads
Back to top button