Buletin

ISUZU D-MAX 1.9L DAH SAMPAI! BERMULA RM80K SAHAJA!

Isuzu DMAX memang bukan satu nama yang asing dalam segmen trak pikap tetapi kini Isuzu dengan bangganya membawakan Isuzu DMAX 1.9L BluePower kepada rakyat Malaysia.

Jika sebelum ini DMAX dikenali dengan ketahanan dan penjimatan bahan api kini ia ditambah baik dengan teknologi yang lebih cekap dan kuasa enjin yang dipertingkatkan.

Baru dilancarkan sebentar tadi, D-Max yang dipadankan dengan enjin 1.9L baru yang dikenali dengan nama RZ4E ini memang ditunggu-tunggu peminat pikap di Malaysia dan sudah digunakan untuk pasaran Thailand sejak dari tahun 2019. Habis kenapa lambat sangat sampai ke Malaysia sedangkan kita berjiran dengan Thailand?

Jawapannya ialah dua ujian yang harus dilepasi dan dikaji dengan teliti oleh pihak Isuzu. Satu ialah kualiti disel Malaysia yang masih sangat rendah jika dibandingkan dengan negara Asia Tenggara lain.

Kini DMAX baru ini bukan hanya boleh menggunakan disel Euro2M Malaysia malah ia juga diuji dan terbukti ia juga mempunyai kadar penjimatan bahan api yang cukup baik (8L/100km).

D-MAX 1.9L baru ini juga boleh menerima biodisel B10 buat masa sekarang dan dengan sedikit pengubahsuaian ia juga boleh menerima biodisel B20 apabila diperkenalkan kelak.

Satu lagi ujian ialah tahap operasi pada altitud tinggi.

Empat lokasi dipilih sebagai medan ujian altitud tinggi DMAX baru ini iaitu Cameron Highlands, Genting Highlands, Kundasang dan Tambunan. Ia sangat penting kerana berbeza dengan Thailand yang mukabuminya berbentuk rata Malaysia adalah lebih berbukit bukau.

Mengikut spesifikasi, enjin RZ4E ini merupakan enjin 1.9L 4-selinder  DOHC 16V common rail direct injection dan dilengkapi dengan pengecas turbo (VGS).

Dengan nisbah mampatan 16.5:1 yang lebih tinggi berbanding enjin DMAX 2.5L sebelum ini, ia mampu menghasilkan 150 PS kuasa maksima dan tork setinggi 350 Nm. Ia juga merupakan satu peningkatan berbanding enjin 4JK1 2.5L yang digunakan DMAX sebelumnya.

Kelebihan lain pula ialah enjin ini memang 19 peratus lebih menjimatkan berdasarkan ujian yang dijalankan oleh pihak Isuzu. Ia berjaya dicapai dengan mengurangkan geseran antara komponen dalaman enjin seperti mana yang diterangkan oleh Pengurus Besar Bahagian Rekabentuk Enjin dari Pusat Teknikal Isuzu Asia, Isami Tateyama.

Bukan itu sahaja, kebuk pembakaran enjin ini telah direka semula selain penggunaan pengecas turbo VGS baharu dan tetapan suntikan bahan api yang lebih tepat. Hasilnya pembakaran yang lebih bersih dan sempurna sekaligus mengurangkan sisa buangan ekzos.

Penggunaan komponen enjin baharu menjadikan enjin ini 56 kilogram lebih ringan berbanding sebelumnya. 56 kilo tuan-tuan. Bukan sikit tu, hampir sama berat seorang manusia dewasa.

Bukan hanya enjin baharu, DMAX 1.9L BluePower ini turut dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan terbaru dengan nisbah gear yang lebih rapat untuk membantu pecutan khususnya sewaktu hendak memotong kenderaan di hadapan.

Gear overdrive tambahan semestinya memberikan penjimatan bahan api yang lebih kerana enjin tidak perlu bekerja lebih keras sewaktu meluncur di lebuh raya.

Isuzu Malaysia menyediakan pilihan 11 varian kepada bakal pembeli. Ada varian paling rendah, low rider bertransmisi manual hingga ke varian paling tinggi enjin 3.0T automatik.
Ya, varian enjin 3.0 masih lagi ditawarkan.
Di samping tu terdapat enam warna pilihan iaitu Magnum White, Silky Pearl White, Titan Silver, Stallion Black, Red Spinel dan Sapphire Blue.
Berikut ialah sebarai harga bagi keseluruhan 11 varian yang ditawarkan oleh Isuzu Malaysia.
Isuzu D-Max 1.9L 4×2 MT Low-Ride      – RM  80,149.20
Isuzu D-Max 1.9L 4×4 MT Single Cabin – RM  85,799.20
Isuzu D-Max 1.9L 4×2 MT Hi-Ride         – RM  86,699.20
Isuzu D-Max 3.0L 4×4 MT Single Cabin – RM  92,838.20
Isuzu D-Max 1.9L 4×4 MT Type B          – RM  96,699.20
Isuzu D-Max 1.9L 4×2 AT Hi-Ride          – RM100,049.20
Isuzu D-Max 1.9L 4×4 AT Type B           – RM104,599.20
Isuzu D-Max 1.9L 4×4 MT-P                   – RM105,999.20
Isuzu D-Max 3.0L 4×4 MT Type B          – RM106,738.20
Isuzu D-Max 1.9L 4×4 AT-P                    – RM115,799.20
Isuzu D-Max 3.0L 4×4 AT-P                    – RM120,838.20
Bagi pembeli yang menempah D-Max dari hari ini hingga 31 Oktober nanti akan mendapat jaminan lima tahun tanpa had perbatuan dan paling menarik ialah pakej penyelenggaraan percuma untuk tempoh LAPAN tahun!
Google ads
Back to top button