Artikel Pilihan

LAGI KECIL, TAPI ENJIN ISUZU 2.2 MAXFORCE LAGI POWER

Isuzu telah memperkenalkan enjin turbodiesel 2.2 liter Ddi MAXFORCE Biturbo untuk model pikap D-Max dan SUV MU-X di Thailand, dengan kuasa maksimum 204 PS dan tork 500 Nm. Enjin baharu ini merupakan perkembangan penting dalam usaha Isuzu meningkatkan prestasi tanpa perlu bergantung kepada kapasiti enjin yang lebih besar.

Dengan kuasa yang lebih tinggi, enjin 2.2 liter ini bukan sahaja menawarkan kuasa lebih padu berbanding versi 2.2 liter biasa, malah turut mengatasi angka kuasa dan tork enjin diesel 3.0 liter yang lama. Enjin baharu berkapasiti 2,164 cc ini menggunakan konfigurasi empat silinder sebaris dengan sistem suntikan bahan api terus common rail.

Kuasa maksimum 204 PS dihasilkan pada 3,600 rpm, manakala tork maksimum 500 Nm berada antara 1,600 hingga 2,600 rpm. Julat tork yang luas ini penting untuk kenderaan sederhana berat seperti D-Max dan MU-X kerana ia membantu menghasilkan daya tarikan yang kuat pada putaran enjin rendah hingga pertengahan.

Ciri tersebut berpotensi memberikan kelebihan ketika memotong kenderaan lain, mendaki bukit atau membawa muatan, tanpa memerlukan enjin berputar pada tahap tinggi sepanjang masa. Rahsia peningkatan prestasi ini terletak pada penggunaan sistem pengecas turbo berkembar atau Biturbo.

Sistem tersebut menggunakan dua turbo dengan 2 karakter operasi berbeza untuk membantu memenuhi keperluan aliran udara enjin pada pelbagai julat putaran. Secara prinsipnya, pendekatan ini bertujuan meningkatkan respons pada rpm rendah sambil mengekalkan keupayaan menghasilkan kuasa apabila pemandu memerlukan pecutan lebih kuat pada RPM yang lebih tinggi.

Isuzu turut menawarkan transmisi automatik lapan kelajuan REV TRONIC , yang dipadankan dengan karakter tork enjin baharu untuk membantu penyaluran kuasa kepada roda. Pada masa yang sama transmisi 6 kelajuan automatik turut dikekalkan dan ditawarkan mengikut varian.

Selain meningkatkan prestasi, Isuzu turut memberi perhatian kepada kecekapan dan ketahanan mekanikal. Antara teknologi yang diketengahkan ialah sistem suntikan bahan api Gi-BOOST dengan tekanan sehingga 250 MPa, bersamaan 2,500 bar, bagi membantu mengawal penghantaran bahan api dengan lebih tepat.

Enjin ini turut menggunakan salutan khas EVOGLIDE TECH COATING pada omboh untuk mengurangkan geseran, selain reka bentuk sistem penyejukan dan pelinciran yang bertujuan membantu mengawal suhu serta menyokong ketahanan ketika beroperasi di bawah beban tinggi.

Dari segi angka prestasi, enjin 2.2 liter Biturbo ini menghasilkan tambahan 14 PS dan 50 Nm berbanding enjin diesel 3.0 liter yang menawarkan 190 PS dan 450 Nm. Jika dibandingkan dengan enjin 2.2 liter MAXFORCE biasa yang menghasilkan 163 PS dan 400 Nm, versi Biturbo pula mencatat peningkatan sebanyak 41 PS dan 100 Nm.

Enjin Isuzu terbaharu ini juga menawarkan peningkatan pecutan sebanyak 5% untuk pecutan 0-100km/h dan 12% untuk pecutan 80-100km/h serta kecekapan bahan api sebanyak 8% berbanding enjin 3.0 liter dalam keadaan ujian yang ditetapkan pengeluar. Angka penggunaan bahan api yang diterbitkan bagi beberapa varian Biturbo di Thailand berada sekitar 15.3 hingga 16.6 km/liter, bergantung pada model.

Pengenalan enjin ini menunjukkan bagaimana pengeluar boleh meningkatkan prestasi diesel melalui gabungan pengecas turbo berkembar, pengurusan suntikan bahan api dan pengurangan geseran dalaman, tanpa perlu meningkatkan kapasiti enjin. Bagi Isuzu , tumpuan enjin baru bukan hanya pada angka kuasa maksimum, tetapi juga pada tork yang tersedia pada putaran rendah serta keseimbangan antara prestasi, penggunaan bahan api dan ketahanan. B

Google ads
Back to top button