Buletin

ISUZU BUKA PUSAT 3S BAHARU DI KUANTAN

Isuzu Malaysia merasmikan pusat 3S (jualan, servis dan alat ganti) terbaharu di Semambu, Kuantan yang dikendalikan oleh Dynamic Motors Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Tomoyuki Yamaguchi, berkata pembukaan pusat itu tepat pada masanya berikutan peningkatan permintaan terhadap kenderaan Isuzu di rantau Pantai Timur.

“Selain menghasilkan kenderaan yang berkualiti dan tahan lasak, kami juga mahu memastikan pelanggan menikmati pengalaman pemilikan yang lebih baik melalui kemudahan moden seperti di Kuantan ini,” katanya.

Pusat baharu ini dibangunkan di atas kawasan seluas 3,500 meter persegi dengan keluasan bangunan 1,700 meter persegi, menempatkan bilik pameran, pusat servis dan ruang menunggu pelanggan.

Selain itu, ia turut dilengkapi laluan serahan kenderaan berbumbung, ruang rehat ala kafe serta kemudahan minuman dan mesin kopi.

Dua unit Isuzu D-Max dipamerkan di bilik pameran, selain kemudahan pandu uji serta teknologi realiti maya (VR) bagi memberi pengalaman lebih interaktif kepada pelanggan.

Pusat 3S ini juga menawarkan perkhidmatan jualan dan selepas jualan bagi kenderaan tugas sederhana Forward dan tugas berat Giga, menjadikannya pusat sehenti untuk keseluruhan rangkaian produk Isuzu.

Bilik pameran Dynamic Motors Isuzu dibuka setiap hari, manakala pusat servis beroperasi dari Isnin hingga Sabtu di Jalan Industri Semambu 1, Kuantan.

Google ads
Back to top button