Buletin

ISUZU D-MAX DAN MU-X DAPAT ENJIN 2.2L BAHARU DI THAILAND!

Satu tarikan utama tentang Isuzu D-Max ialah enjin RZ4E-TC Ddi BluePower 1.9 liter diesel turbo yang mempunyai kelebihan dari segi cukai jalan rendah berbanding pesaing dengan sesaran enjin lebih besar.

Enjin ini diperkenal di Thailand pada November 2015 bersama versi rupa baharu D-Max generasi kedua dan dilancarkan di pasaran tempatan pada September 2019.

Lama berkhidmat, Isuzu memperkenalkan enjin RZ4F Ddi MaxForce 2.2 liter diesel turbo untuk D-Max dan kenderaan utiliti sukan (SUV) MU-X 7 dan mula dijual di Thailand pada 28 November.

Bukan sahaja enjin, kedua-dua model turut menggunakan kotak gear automatik lapan kelajuan baharu.

Menurut Isuzu, pengenalan ini dibuat susulan permintaan pasaran dan mempunyai kelebihan dari segi pecutan dan kecekapan bahan api berbanding model sedia.

Dengan sesaran lebih besar, enjin RZ4F 2.2 menghasilkan 163 ps pada 3,600 rpm dan 400Nm dari 1,600 sehingga 2,400 rpm.

Sebagai perbandingan, enjin RZ4E-TC memiliki 150 ps pada 3,600 rpm dan 350Nm dari 1,800 sehingga 2,600 rpm dan dipadan bersama kotak gear automatik enam kelajuan.

Untuk RZ4F, Isuzu telah merekabentuk semula silinder dengan sistem pelinciran aliran tinggi dan kebuk pembakaran putaran tinggi (high-swirl) bagi meningkatkan kecekapan pembakaran.

Turut digunakan omboh geseran ultra rendah, pengecas turbo geometri boleh ubah elektronik (EVGT), pemancit terus dengan tekanan lebih tinggi (sehingga 250 MPa) dan Unit Kawalan Enjin (ECU) multi-core.

Kotak gear lapan kelajuan mempunyai julat gear lebih besar, daya kilas yang dioptimum, lock up damper prestasi tinggi dan tetapan pemetaran tukaran gear yang disesuaikan untuk enjin RZ4F.

Enjin 4JJ3-TCX 3.0 liter kekal ditawarkan dan turut dinamakan MaxForce bersama penggunaan ECU multi-core.

Spesifikasi D-Max 4×2 Hi-Lander 2.2 M 8 AT

Ukuran dan berat

  • Dimensi: 5,280 (p) x 1,870 (l) x 1,810 (t) mm
  • Jarak roda: 3,125 mm
  • Berat: 1,895 kg
  • Putaran minimum: 6.1 m
  • Tayar: 265/60R18

Enjin dan kotak gear

  • RZ4F Ddi MaxForce 2.2 liter ( 2,164 cc) diesel turbo
  • Kuasa: 163 ps@3,600 rpm, 400Nm@1,600 – 2,400 rpm
  • Kotak gear: Automatik 8-kelajuan

Spesifikasi MU-X 4×2 2.2 RS 8AT

Ukuran dan berat

  • Dimensi: 4,860 (p) x 1,885 (l) x 1,875 (t) mm
  • Jarak roda: 2,855 mm
  • Berat: 2,045 kg
  • Putaran minimum: 5.6 m
  • Tayar: 265/50R20

Enjin dan kotak gear

  • RZ4F Ddi MaxForce 2.2 liter ( 2,164 cc) diesel turbo
  • Kuasa: 163 ps@3,600 rpm, 400Nm@1,600 – 2,400 rpm
  • Kotak gear: Automatik 8-kelajuan
Google ads
Back to top button