Buletin

JIP KHAS NISSAN PATROL DENGAN NAMA BURUNG & RUSA

Model popular dalam sesebuah negara atau kecenderungan spesifikasi adalah cerminan utama pasaran. Contohnya populariti tiga model utama atau tiga jenama teratas adalah cerminan kepada kesukaan rakyat Malaysia.

Model-model Perodua berjaya memikat ratusan ribu pembeli di Malaysia saban tahun dan itu adalah indikator apa yang digemari oleh pasaran.

Begitu juga dengan negara jiran seperti Indonesia yang menggemari MPV dan SUV kompak seperti Toyota Avanza, Mitsubishi Expander dan Toyota Rush.

Apa yang ingin cuba disampaikan di sini ialah setiap negara mempunyai pilihan tersendiri dan ia begitu menarik sekali untuk diperhatikan.

Bagaimana pula dengan Timur Tengah?

Selain daripada kegilaan tentang kereta mewah yang sering dipaparkan di media sosial, satu kecenderungan pasaran di sana ialah SUV bersaiz besar atau jip.

Lega rasanya dapat menyebut jip selepas SUV begitu popular sekarang ini.

Di antara model popular di Timur Tengah ialah Nissan Patrol Safari yang kini semarakkan lagi dengan tiga varian istimewa. Menariknya model istimewa itu dinamakan sempena haiwan padang pasir iaitu burung falcon (sejenis burung helang) dan gazelle (rusa).

Patrol Safari adalah model yang begitu ikonik di Timur Tengah dek kerana keupayaan untuk mengharungi pelbagai keadaan muka bumi serta tahan lasak dan boleh dikatakan sebagai jip yang sebati di sana.

Sambutan terhadap Patrol Safari terus meningkat apabila jualan di Timur Tengah dari April hingga September 2018 telah meningkat sebanyak 30 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Jualan dari tahun fiskal 2012 hingga 2017 pula meningkat dengan banyak sekali iaitu sebanyak 152 peratus.

Berikut ialah informasi tentang tiga edisi istimewa Nissan Patrol:

Nissan Patrol Falcon Edition

  • Reka bentuk grafik pada sisi
  • Bamper krom, plet skid perak satin, bar lampu LED
  • Arka roda hitam kilat, lampu DRL, spoiler hitam kilat, pemegang botol minyak, kotak tayar ganti dengan logo burung falcon
  • Kerusi balutan kulit warna perang dengan logo burung falcon
  • Peti penyejuk, dua beg udara, penyaman udara penumpang belakang bebas, ABS dan Automatic Speed Control (ASCD)

Nissan Patrol Gazelle Edition 

  • Turut mempunyai grafik sisi
  • Arka roda baharu
  • Roda aloi 17 inci berwarna tembaga
  • Tayar lasak 285mm
  • Gril, lampu depan dan belakang digelapkan dengan logo pada bonet
  • Spoiler belakang siap dengan pemegang bendera untuk pemanduan di padang pasir
  • Balutan kulit premium berwarna perang pada pintu dan kerusi beserta logo rusa gazelle
  • Snorkel udara untuk kegunaan dalam air atau padang pasir
  • Suspensi dengan tangki boleh laras berwarna korporat Nissan hitam dan merah yang dianodkan
  • Kit peninggian dua inci dengan spring Nissan berwarna merah
  • Winch elektrik dengan kapasiti 4,300 kg

Nissan Patrol Gazelle-X Edition

  • Bamper depan dan belakang besi dengan pelindung getah dan logo rusa gazelle
  • Bampaer depan dengan lampu LED petak 3 x 3 inci
  • Bamper belakang dengan cangkuk penunda tahan lasak dan pemegang tayar ganti
  • Skid plet depan binaan khas dengan cetakan rusa gazelle dan juga pada bonet depan
  • Roda aloi 17 inci berwarna merah dan hitam ala kereta rali dengan tayar 315mm
  • Rak bumbung dan bar lampu LED 30 inci
  • Gear manual kelima dengan fungsi over-drive dengan nisbah differential depan dan belakang dipertingkatkan
  • Suspensi dengan tangki boleh laras berwarna korporat Nissan hitam dan merah yang dianodkan
  • Kit peninggian empat inci dengan spring Nissan berwarna merah
  • Sistem ekzos berprestasi baharu
  • Kotak simpanan baharu ditambah pada kerusi bahagian kedua dan ketiga dan laci simpanan pada bahagian belakang
  • Tali penunda, kit emergensi dan pelapik pasir jika tayar jerlus ke dalam pasir ditambah sebagai peralatan standard

Nissan Patrol Falcon, Gazelle dan Gazelle X dikuasakan oleh enjin 4.8L 4800 TWINCAM 24-VALVE yang dipadankan bersama transmisi lima kelajuan automatik atau lima kelajuan manual.

Enjin besar ini berkuasa 280hp dengan tork 452Nm yang membolehkan ia dipandu ke pelbagai permukaan. Turut dilengkapi ialah Vehicle Dynamic Control (VDC), Tyre Pressure Control Monitoring System (TPMS), ABS, Immbobilizer, Kawalan Jelajah serta dua beg udara.

BACA: ADAKAH INI KEMAJUAN? ENJIN KECIL 1.3 UNTUK NISSAN QASHQAI

BACA: INI NISSAN PULSAR – BABY GTR!

Google ads
Back to top button