Buletin

PEUGEOT 308 THP FACELIFT KINI DI 1UTAMA – 167PS, 140kg LEBIH RINGAN, RM129,888 SEUNIT

Nasim Sdn. Bhd. (Nasim) pengedar kenderaan jenama Peugeot di Malaysia hari ini memperkenalkan model 308 baharu kepada pengguna tempatan pada Siri Jelajah Peugeot Motion & Emotion di pusat membeli-belah 1Utama.

“308 THP baharu yang merupakan varian naik taraf tampil dengan rekaan dan fungsi Eropah. Kami yakin 308 THP akan menjadi model paling laris kami selain SUV 3008,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings, Dato’ Samson Anand George.

Anda boleh melihat 308 faceit secara dekat di sana mulai hari ini hingga 28 Oktober 2018

Model itu dikemas kini dengan bampar hadapan, bonet dan gril radiator baharu. Ruang kabin pula menampilkan susun atur Peugeot i-Cockpit bersama stereng kompak, skrin sentuh HD bersaiz 9.7 inci dan heads-up display (HUD).

308 THP dilengkapi ciri ketersambungan Mirrorlink, Android Auto dan Apple Carplay. Turut ditambah ialah kamer undur 180° dengan auto zoom untuk memudahkan urusan memarkir kenderaan.   

Berbanding model sebelumnya, 308 THP dijana oleh enjin THP bersesaran 1.6 liter yang 15PS lebih berkuasa (167 PS pada 6,000rpm) dan tork maksimum 240Nm pada 1,400rpm. Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan.

Walaupun mampu mencapai kelajuan sehingga 211km/j, ia tetap menawarkan penjimatan dengan jarak sejauh 800km untuk setiap tangki minyak.

Harus tahu 308 THP adalah 140kg lebih ringan, kompak dan tegar berbanding model sebelum ini. Jentera itu padat dengan sistem keselamatan seperti Peugeot Hill Start Assist, Electronic Stability Program (ESP), sistem berek anti-kunci (ABS) dan Electronic Brake Distribution (EBD).

Model kompak itu didatangkan dalam lima pilihan warna iaitu putih, kelabu, merah, biru dan hitam.

Siri Jelajah Peugeot Motion & Emotion turut mengadakan kempen akhir tahun Autovaganza dengan banyak tawaran hebat dan penjimatan sehingga RM12,000. Antara tawaran tempoh terhad termasuklah 308 THP baharu pada harga RM129,888 seunit. Tidak ketinggalan SUV 3008 pada RM141,888.

Manakala Peugeot 5008 boleh anda miliki pada harga RM172,888 dan 208 Puretech pula berharga RM86,888 seunit.

Pengunjung juga berpeluang untuk memandu uji model Peugeot yang diminati. Semua model Peugeot didatangkan dengan jaminan selama lima tahun atau perbatuan sejauh 120,000km. Selain Peugeot Assistance 24 jam dan akses percuma ke  ‘SkyLounge by Naza’ di Subang Skypark.

GALERI 

Google ads
Back to top button