Buletin

JUALAN LAMBORGHINI JAN – JUN 2024 NAIK, TEMPOH TUNGGU REVUELTO LEBIH 2 TAHUN!

Setengah tahun berlalu dan pengeluar kereta melaporkan prestasi jualan masing-masing.

Automobili Lamborghini merekodkan jualan sebanyak 5,558 buah kereta dari Januari sehingga Jun 2024 atau pertambahan 4.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Hasil yang diperolehi 1.621 bilion euro (RM8.129 bilion) atau peningkatan 14.1 peratus berbanding enam bulan pertama 2023. Untung kendalian mencatatkan rekod 458 juta euro (RM2,296 juta).

Prestasi Lamborghini didorong oleh tiga model iaitu Revuelto, Urus dan Huracán.

Keberuntungan (profitability) mencecah 28.2 peratus dan mencerminkan kejayaan strategi syarikat dan keseimbangan di antara penghantaran dan parameter kewangan lebih baik.

Penghantaran kereta di tiga pasaran besar terus seimbang dengan Eropah, Timur Tengah, Afrika (EMEA), Amerika dan Asia Pasifik (APAC) masing-masing mencatat penyerahan sebanyak 2,498, 1,849 dan 1,211 unit.

Dari segi pecahan mengikut negara, serahan terbanyak ialah di Amerika Syarikat dan melebihi gabungan tiga negara di bawahnya. Jumlah penduduk semestinya memainkan peranan.

Perincian penghantaran Januari sehingga Jun 2024 mengikut negara:

  1. Amerika Syarikat: 1,621
  2. Jerman: 585
  3. United Kingdom: 514
  4. Jepun: 354
  5. Tanah Besar China, Hong Kong dan Macau: 337
  6. Itali: 268

Tempahan kenderaan kekal kukuh dengan tempoh menunggu Revuelto iaitu model pertama hibrid plug-HPEV (High Performance Electrified Vehicle) Lamborghini memakan masa lebih dua tahun.

Pesanan untuk Huracán pula meliputi keseluruhan pengeluaran sehingga penutupan barisan pengeluaran yang dijangka pada Disember.

Urus SE yang baru diperkenal pada April menerima sambutan menggalakkan dengan pesanan meliputi sekitar setahun pengeluaran.

Dengan penamatan Huracán, model pengganti bakal diperkenal pada 16 Ogos depan. HPEV kedua itu juga menandakan selesainya proses penghibridan model Lamborghini.

Berbeza dengan Revuelto yang menggunakan enjin V12 dan sistem hibrid, model itu menggabungkan perkakasan elektrik dengan enjin V8 turbo berkembar baharu.

Google ads
Back to top button