
AUTOID BMW TR87 EDITION M2, TAMPIL AGRESIF, DIBUAT UNTUK 10 BUAH SAHAJA
Terima kasih kepada BMW kerana tegar menghasilkan kereta dua pintu sehingga sekarang. Bukan sahaja untuk dipandu biasa, dibuat buat pula versi berprestasi seperti BMW M2.
Ketegaran BMW disambut pengubahsuai sebagai contoh AUTOID dari United Kingdom (UK) tampil dengan BMW TR87 Edition G87 M2.
AUTOID adalah syarikat gayaan badan kenderaan dan TR87 Edition dibuat untuk sepuluh buah M2 sahaja.
Senarai pakej BMW TR87 Edition G87 M2:
- BMW M2 Coupe G87 2024
- Pakej aero karbon TR87
- Naik taraf ampaian dan ekzos
- Pilihan pakej pengendalian
Pakej Karbon TR87
Kit badan aerodinamik M2 dari TRE, pembuat perkakasan pascapasaran gentian karbon prestasi tinggi.
Kit badan TR87 V3 dihasilkan selepas program pengujian dan pembangunan yang memakan masa lebih 18 bulan.
Menggunakan perisian reka bentuk berbantu komputer (CAD) dan data tiga dimensi M2, kit TR87 V3 mempunyai pemasangan sempurna selain rekaan sepadan dengan garisan badan kereta.
Setiap perkakasan dihasilkan menggunakan gentian karbon premium yang sama untuk perkakasan BMW M Performance.
Bukan sekadar rekaan biasa, kit TR87 turut menjalani ujian menggunakan perkomputeran mekanik bendalir (CFD) untuk mengesahkan keberkesanannya.
Ciri-ciri kit TRE TR87 V3:
- Daya mendap 108 kg pada kelajuan 193 km/j
- Sayap belakang boleh laras untuk pekali seretan rendah pada laluan lurus
Seperkara lagi yang menarik ialah falsafah reka bentuk kit TR87 V3 turut memberi penghormatan kepada BMW M2 CS F87 sebelum ini.
Di antaranya jeriji buah pinggang gentian karbon, jaluran tengah bampar, saluran bampar depan dan peresap belakang.
Kit TR87 V3 turut terdiri daripada pemisah depan tiga bahagian, skirt sisi, sayap belakang boleh laras atau pilihan spoiler belakang untuk gaya yang lebih kepada jalanan.
Pakej ampaian dan ekzos
Setiap unit edisi terhad ini dilengkapi kit ampaian M Performance dengan larasan ketinggian dan sistem ekzos Milltek Sport OPF Back.
Pemilihan ekzos Milltek Sport lebih selamat di jalanan kerana mematuhi piawaian emisi.
Pilihan pakej pengendalian
Untuk pengendalian lebih jitu, pelanggan boleh melengkapi pakej berikut pada M2:
- Gegelung boleh laras MSS Hybrid
- Sesendal Lengan Kawalan Moton Uniball
- Lengan toe belakang Hardrace
- Plet kamber boleh laras Millway
- Tetapan geometri / penjajaran format ‘fast road’
- Pakej tayar Yokohama AD09 285/35 R19 dan / 295/30 R20
- Pemetaan CSL (kotak gear, stereng, cengkaman dan pengendalian, pembeza, ampaian)
Secara keseluruhannya, perubahan yang dibuat menjadikan M2 AUTOID memiliki pengendalian lebih jitu, tindak balas stereng yang dipertingkatkan dan gayaan lebih menyerlah.
Spesifikasi BMW TR87 Edition M2 G87 dari AUTOID:
- Enjin: 3.0 liter S58 turbo berkembar
- Kuasa: 570 hp, 665Nm
- 0 – 100 km/j: 3.2 saat
- Kelajuan tertinggi: Dihadkan kepada 249 km/j
- Harga pakej TR87: 12,999 pound (RM77,551)
- Harga pakej pengendalian: 4,450 pound (RM26,548)