
KENAPA KERETA AMBIL SELEKOH DENGAN 3 TAYAR DI SELEKOH? BAGI GAMBAR CUN KE?
Kali ini rakan penulis iatu Dr. Aid Fawzal menjawab persoalan kenapa kereta apabila dipandu laju di litar dan mengambil selekoh dengan laju, ia cenderung untuk melakukan aksi “tripod”. Istilah ini merujuk kepada keadaan kereta yang berada dalam 3 tayar sahaja yang bersentuhan dengan permukaan jalan ketika selekoh
Seperti biasa Dr. Aid Fawzal menawab dalam istilah dan penceritaan yang mudah difahami. Sekiranya anda ada macam macam persoalan anda boleh menghubungi beliau di pautan sosial media di atas.
====================================================================
Hari tu naik isu, katanya dah tahun 2024 tapi ada yang masih ketinggalan zaman kerana memuja fenomena ‘tripod’ ni . Ramai yang minta saya luas dan tulisan dibawah adalah ulas saya pada kacamata kejuruteraan santai.
Jom sama² kita fahamkan…
——
Untuk memudahkan pemahaman semua, saya buat tulisan dalam bentuk soal-jawab ya.
S1: Apa itu “tripod” atau “tripoding” dalam sukan permotoran?
J1: “Tripod” adalah satu fenomena di mana salah satu roda kereta lumba terangkat daripada tanah sewaktu membelok tajam. Ini membuatkan hanya 3 tayar sahaja yang bersentuhan dengan permukaan jalan.
• Kerana itu, ada juga yang memanggilnya sebagai “three-wheeling”.
——
S2: Kenapa tripod berlaku?
J2: Secara ringkas, ia berlaku disebabkan kereta membelok juga membrek secara agresif.
Pun begitu, faktor² penting akan terjadinya ‘tripod’ ini adalah:
a) Pemindahan berat sewaktu membelok tajam
• Bayangkan kita sedang memandu, kemudian kita membelok ke kanan. Kita boleh perasan yang kepala kita berubah kedudukan ke kiri melawan arah belokkan tu. Ini lah yang dimaksudkan dengan pemindahan berat. Apabila sesebuah kereta membelok tajam, berat kereta akan berpindah ke sudut luar selekoh.
• Nah, sekarang bayangkan kereta dengan enjin dihadapan membelok ke kanan secara agresif. Berat kereta akan pindah ke kiri. Disebabkan kereta juga membrek, berat tadi juga pindah ke hadapan. Ini membuatkan bahagian kiri-depan paling banyak terima beban. Dengan tu, bahagian kanan-belakang lah paling kurang beban; maka boleh terangkat tayar belakangnya.
b) Jenis geometri sistem gantungan
• Sistem gantungan jenis tidak-bebas (nonindependent) atau semi-bebas (semi-independent) lebih mudah untuk mengalami fenomena ‘tripod’ ini. Bebas atau tidak-bebas atau semi-bebas merujuk kepada perhubungan antara roda kiri dan kanan apabila menerima beban atau bergerak. Sistem bebas boleh bergerak secara sendirian. Manakala sistem tidak-bebas, bila 1 terima beban, satu sudut lagi akan juga terkesan.
• Untuk kereta² pacuan hadapan zaman kini, kita boleh lihat kenderaan dengan sistem gantungan belakang jenis ‘torsion beam’ seperti Perodua Kelisa, Honda Jazz, Civic Type R FK2, Suzuki Swift Sports dll adalah model² yang paling mudah berlakunya kejadian ‘tripod’ Torsion bean adalah jenis semi-bebas ya.
c) Penyerap hentak yang pendek (short stroke absorber)
• Perasan tak bila kereta harian kita di’jack’, roda akan terkulai jatuh. Tapi bila kita tengok kereta perlumbaan di’jack’, rodanya jatuh sedikit sahaja. Sekarang bayangkan keadaan dimana kereta tadi terangkat disebabkan ketinggian kereta berubah, tayar tadi akan ikut terangkatlah kan.
d) Daya membelok (concerning force) mengatasi daya ke bawah (downforce) pada roda belakang
e) Ketinggian pusat graviti
f) Setup sistem gantungan yang keras
g) Jarak antara roda depan-belakang pendek (short wheelbase)
——
S3: Kereta jenis apa biasa ‘tripod’ ni jadi?
J3: Kereta “hot hatch” paling cenderung untuk alami fenomena ini.
• Ini disebabkan oleh enjin berada di depan bermaksud berat lebih tertumpu ke hadapan.
• Juga rekabentuk badan ‘hatch’ yang takde bontot membuatkan bahagian belakang lebih ringan dan mudah terangkat.
——
Sekarang kita dah faham apa, kenapa & bagaimana, baru syok nak terjun masuk bahagian seterusnya…
S4: Apa keburukan ‘tripod’?
J4: Antara keburukannya adalah:
a) Mengurangkan keseluruhan cengkaman (reducing traction)
• Ye lah, daripada 4 tayar melekat atas jalan, sekarang 3 tayar je ada.
b) Berpotensi untuk ketidakstabilan
• Permulaan sewaktu roda terangkat tu mungkin tak jadi masalah, tapi bila tayar mula jatuh, kejutan penambahan ‘grip’ tadi boleh terkejut.
• Selain itu, pemandu yang kurang mahir juga akan terbuai² sewaktu kereta berada dalam keadaan 3 roda (unpredictable handling characteristics).
c) Peningkatan risiko terbalik/berguling (rollover)
• Dalam keadaan ekstrem, kalau ada kereta belakang cium, kemungkinan untuk terbalik tinggi.
——
S5: Apa kebaikan ‘tripod’?
J5: Walaupun ada banyak keburukan, ‘tripod’ ni ada juga kebaikannya, iaitu:
a) Keburukan pada pengurangan keseluruhan cengkaman juga bermaksud pengurangan rintangan putaran (reduced rolling resistance)
• Bila rintangan putaran jadi rendah, kereta boleh bergolek lebih laju dengan kuasa yang lebih sedikit.
b) Meningkatkan respon belok-masuk (turn-in) selekoh.
• Untuk pemandu kurang berpengalaman, tripod boleh kasi hilang kestabilan, tapi ditangan pemandu berpengalaman, tripod ni tadi kasi lebih senang nak membelok masuk selekoh.
• Ini kerana, dengan 4 tayar atas jalan, 2 tayar depan yang cuba membelok terpaksa menarik 2 tayar belakang yang degil. Tapi dengan hanya 1 satu saje tayar belakang, belokan jadi lebih mudah.
c) Tayar depan dapat lebih cengkaman (grip)
• Disebabkan roda belakang terangkat, berat dapat dipindahkan ke tayar depan dan lebih mencengkam jalan.
d) Hal (S5.c) di atas juga berguna untuk kereta² dengan ‘open differential’. Bila berat fokus pada roda depan luar selekoh, kuasa enjin dengan ‘open differential’ boleh fokus pada sudut yang sama.
——
S6: Adakah ‘tripod’ melambatkan kereta?
J6: Jawapannya bergantung keadaan.
• Dengan senarai kebaikan & keburukan yang telah saya huraikan di atas, kita boleh tahu keadaan ‘tripod’ ini boleh jadi baik dan boleh jadi buruk.
• Secara umumnya jurutera cuba untuk meminimumkan kejadian ‘tripod’ tetapi jika ia dapat memberi manfaat daripada mengurangkan ‘lap time’, kenapa tidak ia dieksploitasikan?
——
Terakhir, tidaklah salah untuk kita punya pendapat sendiri, tapi tak perlu lah kita menjatuh²kan pendapat orang lain. Sama² nyatakan pendapat lebih elok daripada menjatuh²kan orang lain.
Kalau kereta kita dapat 3min, dan kereta talaan pakar tak dapat cacatan masa yang sama, cakap saja “alhamdulillah” & bersyukur lah. Orang yang dapat 2min 59saat senyum je tu.
Kenapa pilih untuk berlagak & bermusuhan, kalau boleh pilih berkawan.
Dr Aid Fawzal
*Gambar daripada Afiq Bin Zulkifli , ARC Parts, gambar oleh Perotography