Buletin

KANTOI PINDAH ROKOK SELUDUP BERNILAI RM166K DI PARKIR AWAM

Kegiatan pemindahan rokok seludup bernilai RM166,504.80 di kawasan parkir awam sebuah kondominium di Puchong, Selangor terbantut setelah diserbu polis pada Jumaat.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, serbuan sepasukan anggota PPM Pelabuhan Klang pada jam 9 pagi itu bertindak hasil intipan selama dua jam selepas mengesan tujuh buah kenderaan mencurigakan tiba ke lokasi terbabit.

“Beberapa individu dikesan sedang memindahkan kotak berwarna coklat dari sebuah van ke kereta.

“Ketika serbuan, sebuah kenderaan jenis Toyota Prado berwarna gelap telah berjaya melarikan diri dengan melanggar palang parkir,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun berjaya menahan lapan lelaki berusia 19 hingga 33 tahun dan merampas enam buah kenderaan jenis Proton Persona, Honda Jazz, Toyota Vios, Hyundai Avante, Toyota Camry dan Toyota Hiace.

Katanya, pemeriksaan mendapati lima daripada kenderaan itu terdapat kotak berisi 21,000 batang rokok bernilai RM166,504.80.

“PPM turut merampas 14 telefon bimbit pelbagai jenama untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – SH

Google ads
Back to top button