
POLIS TERENGGANU BONGKAR PENYELUDUPAN TERBESAR YAMAHA RX-Z DARI THAILAND
Polis Terengganu berjaya membongkar aktiviti seludup motosikal jenis Yamaha RX-Z dari Thailand selepas berjaya menahan seorang lelaki di Kampung Padang Luas, Jertih di Besut pada Sabtu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin mengesahkan pihaknya berjaya membongkar penyeludupan tersebut setelah menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah rumah yang juga beroperasi sebagai bengkel di kampung berkenaan.
Hasil pemeriksaan, sejumlah 11 buah motosikal jenis Yamaha RX-Z telah dijumpai termasuk empat casis dan enam komponen enjin motosikal.
“Kita percaya kesemua barangan tersebut dibawa masuk dari Thailand tanpa dokumen sah,” jelas Datuk Mohd Khairi dalam satu kenyataan.
Untuk rekod, polis Terengganu telah pun mengadakan Op Lejang yang berjalan dari 1 hingga 31 Januari melibatkan 48 anggota dan 12 pegawai kanan yang bertujuan mengekang jenayah harta benda melibatkan motosikal seperti Yamaha RX-Z.