Buletin

KAPAL SELAM KRI NANGGALA-402 DITEMUI, SEMUA 53 ORANG KRU TERKORBAN

Panglima Angkatan Tentera Nasional Indonesia (TNI) mengesahkan bahawa semua 53 kru kapal selam KRI Nanggala-402 terkorban. Perkara itu diumumkan oleh Hadi Tjahjanto menerusi sidang media sebentar tadi.

Kompas TV melaporkan ia selepas beberapa bahagian kapal selam itu ditemui hasil penelitian dasar laut.

Antara yang ditemui ialah kemudi kipas belakang kapal selam, sauh, bahagian luar badan, kemudi selam timbul serta beberapa bahagian kapal yang lain.

“KRI Rigel telah melakukan penyiasatan dengan lebih terperinci di lokasi tersebut menggunakan multibeam sonar. Magnetometer telah menghasilkan visual dalam air yang lebih terperinci.

“MV Ship Rescue juga telah menurunkan kenderaan kawalan jauh tanpa pemandu bawah air (ROV) untuk memperkukuh visual bawah air menggunakan kamera,” katanya dalam sidang media pada Ahad petang.

KRI Nanggala 402 yang menjalani beberapa naik taraf menyertai latihan tentera laut di pesisir pantai Bali ketika ia meminta kebenaran untuk menyelam dan kemudian terputus hubungan.

Kapal selam itu dikatakan terputus hubungan ketika tenggelam sedalam 700 meter di dasar laut, melebihi keupayaan aset itu untuk bertahan terhadap tekanan persekitaran.

KRI Nanggala 402 seberat 1,300 tan jenis 209 diesel elektrik adalah kapal selam penyerang yang dibina pada 1978 dan diserahkan kepada Indonesia pada Oktober 1981. 

Aset itu pernah dibaik pulih pada 1989 di Jerman dan kemudian pada 2012 di Korea Selatan dengan strukturnya diganti serta sistem penggerak, sonar dan senjata dinaik taraf. – Harian Metro 

Google ads
Back to top button