
MCLAREN JUAL HQ DI WOKING ENGLAND PADA HARGA RM969.5 JUTA
McLaren yang bergelut untuk bangkit daripada masalah kewangan akibat pandemik menyaksikan pengeluar kenderaan itu terpaksa memberhentikan produksi, menangguhkan pelan masa depan dan membuang 1,200 pekerjanya.
Demi mendapatkan dana, McLaren juga telah mengambil langkah mengejutkan apabila menjual ibu pejabatnya di Woking, England pada September tahun lalu. Di samping mendapatkan pinjaman sebanyak £150 juta (RM855.5 juta) daripada Bank Negara Bahrain.
Tujuh bulan kemudian, McLaren akhirnya menjual ibu pejabat yang berkeluasan 840,000 kaki persegi itu kepada sebuah firma pelaburan yang berpangkalan di New York, Global Net Lease pada harga £170 juta (RM969.5 juta). Harga itu sebenarnya kurang daripada £200 juta (RM1.14 bilion) yang diminta oleh McLaren.

Transaksi berkenaan dijangka disempurnakan pada suku kedua tahun ini. Namun, sebagai sebahagian daripada perjanjian, Global Net Lease perlu menyewakan kembali bangunan tersebut kepada McLaren untuk tempoh 20 tahun.
Sewaan tersebut melibatkan Pusat Teknologi McLaren yang canggih dan pernah digunakan sebagai lokasi penggambaran filem Hobbs & Shaw. Selain Pusat Kepimpinan Pemikiran McLaren serta Pusat Pengeluaran McLaren yang bertanggungjawab menghasilkan model-model seperti McLaren 720S, McLaren GT dan McLaren Artura.
“Ibu pejabat McLaren ialah bangunan canggih yang memenangi banyak anugerah dan direka oleh arkitek terkenal, Norman Foster. Ia merupakan hartanah yang meningkatkan lagi porfolio GNL. Kami berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan pasukan pengurusan McLaren,” kata Ketua Pegawai Eksekutif GNL, James Nelson.
- BACA: SPRM SITA HELIKOPTER PERSENDIRIAN, PORSCHE, MUSTANG, MCLAREN DAN KAPAL MEWAH MILIK KETUA SINDIKET TENDER KERAJAAN
- BACA: SEWA MCLAREN, BERLUMBA VS LAMBO HINGGA TERBABAS. JADI ‘BAHAN’ POLIS CALIFORNIA
- BACA: McLAREN 765LT DILANCARKAN DI MALAYSIA. TERHAD 10 UNIT SAHAJA, HARGA BERMULA RM1.49 JUTA
- BACA: MCLAREN 620R DIRAMPAS KERANA ‘MENYAMAR’ SEBAGAI PORSCHE CAYMAN




