KAPAL SELAM INDONESIA HILANG DI PERAIRAN BALI
Kapal selam milik Angkatan Tentera Laut Indonesia (TNI), KRI Nanggala-402 dipercayai terputus hubungan ketika menjalani sesi latihan di perairan berhampiran Bali, lapor agensi Anadolu yang memetik kenyataan ketua pasukan tentera.
Komander Angkatan Bersenjata Nasional Indonesia, Panglima Hadi Tjahjanto memaklumkan wartawan bahawa pasukan tentera telah mengerahkan semua asetnya yang dilengkapi sistem pengesan untuk melakukan carian sekitar 95 kilometer dari Bali.
Ketua Perkhidmatan Maklumat Angkatan Laut Indonesia, Laksamana Pertama Julius Widjojono berkata, KRI Nanggala-402 terputus hubungan sejak awal pagi semalam.
Kapal selam berkenaan dihasilkan pada 1981 oleh Howaldtswerke di Kiel, Jerman. Ia merupakan kapal selam jenis 209/1300 yang biasa digunakan oleh tentera laut di seluruh dunia.
Dipercayai seramai 53 kru berada dalam kapal selam tersebut. Ia dilaporkan terputus hubungan jam 4.30 pagi semalam di sekitar 96 kilometer di perairan Bali, ketika sedang menjalani latihan torpedo.
Hadi Tjahjanto dijadual mengadakan sidang akhbar di Bali, jam 8.30 pagi ini.
Indonesia dilapor telah meminta bantuan Singapura dan Australia yang memiliki kapal penyelamat kapal selam untuk membantu mengesan KRI Nanggala-402. Wujud spekulasi yang mengatakan kapal berkenaan berada di kedalaman 700 meter.
– Bernama
- BACA: AGENSI PENGUATKUASAAN DADAH DAN TENTERA LAUT COLUMBIA RAMPAS KAPAL SELAM BAWA DADAH
- BACA: KAPAL SELAM DIESEL KALAHKAN SUPERCARRIER NUKLEAR
- BACA: TERLUPA TUTUP PINTU, KAPAL SELAM NUKLEAR BERNILAI RM12 BILION MILIK INDIA ROSAK TERUK
- BACA: KAPAL EVER GIVEN DILARANG TINGGALKAN TERUSAN SUEZ, KENA BAYAR PENALTI RM 4.1 BILLION