Buletin

KANCIL BURUK AKHIRNYA DISITA POLIS, PEMANDU DISAMAN

Pemandu Perodua Kancil yang sebelum ini tular di media sosial kerana kondisinya yang sangat teruk telah ditahan polis atas kesalahan tiada lesen memandu dan strukturnya yang membahayakan pengguna jalan raya lain.

Menurut laporan Berita Harian, pemandu berusia 47 tahun itu ditahan ketika memandu kereta berkenaan di Bandar Metropolitan, Kepong, pada pukul 1 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Zulkefly Yahya berkata hasil pemeriksaan lanjut mendapati kereta itu tidak mempunyai cukai jalan selain tayar depan kanan pecah dan tiada bumbung.

“Pemandu itu kemudian menunjukkan sebuah lagi kereta Kancil warna hijau yang tidak mempunyai nombor pendaftaran dan cermin belakang kiri pecah.

“Kedua-dua kereta itu tidak layak berada di atas jalan raya dan membahayakan kepada pengguna lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Sejak beberapa hari lalu, tular di media sosial sebuah Perodua Kancil selepas ia kembali dikesan berada di atas jalan sekitar Kepong.

Zulkefly berkata kenderaan itu disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 untuk siasatan lanjut. Saman turut dikeluarkan terhadap pemandu itu. kredit foto – FB JSPT KL

Google ads
Back to top button