Artikel Pilihan

AGENSI PENGUATKUASAAN DADAH DAN TENTERA LAUT COLUMBIA RAMPAS KAPAL SELAM BAWA DADAH

Anda pernah menonton siri Narcos di saluran Netflix? Ia berkisar mengenai organisasi haram yang pernah diketuai oleh Pablo Escobar, Madelin Cartel dan juga operasi penyeludupan dadah di Columbia serta Mexico. Kebanyakan dadah yang dihasilkan ini akan diseludup ke Amerika dan serata dunia.

Dalam siri ini anda boleh melihat bagaimana dadah diseludup melalui lori, melalui kontena dengan dilindungi barangan lain serta dengan menggunakan kapal terbang. Walaupun kepala penjahat sudah dapat ditangkap, namun operasi dadah yang bernilai puluhan billion setahun ini terus beroperasi dengan wujudnya kumpulan baru.

Beberapa tahun lepas agensi penguatkuasaan dadah Amerika DEA berjaya membuat tangkapan serta merampas kapal selam yang digunakan untuk membawa muatan dadah dari Amerika Selatan ke merata dunia. Kapal selam ini tidak akan berlabuh di pelabuhan tapi akan berhenti di lokasi tertentu di laut dengan bot-bot laju untuk membawa dadah ke daratan

Jika beberapa tahun lepas DEA dan tentera laut Columbia hanya berjaya menahan dan merampas kapal selam yang usang, namun pada 5 November 2020 mereka terkejut kerana berjaya menahan sebuah kapal selam disel-elektrik atau digelar Narcosub di Sungai Cucurrupi Columbia.

bot separuh selam generasi pertama

Kapal selam tersebut dikuasakan dengan motor elektrik berkembar yang sangat sukar dikesan sekiranya ia mula menyelam dengan kapasiti muatan dadah seberat 6000kg. Sekiranya dadah tersebut berjaya sampai di lokasi penerimaan, ia bernilai sekitar 120 juta USD.

Mengikut laporan yang dikeluarkan oleh US Naval Institute, kapal selam ini dilengkapi dengan bateri seberat 10 tan cukup untuk perjalanan selama 12 jam pada kelajuan 5.56km sejam sewaktu menyelam. Bahagian bilik komander dilengkapi dengan cermin untuk tujuan navigasi pelayaran. DEA menilai kapal selam ini pada harga 1.5 juta USD seunit

Menurut sumber DEA, kapal selam ini biasanya akan ditunda dengan kapal lain yang lebih besar untuk perjalanan yang jauh sehingga ia hampir tiba di lokasi. Apabila sampai di lokasi, kapal selam ini akan melintas sempadan laut tanpa dikesan, menghantar bekalan dadah pada bot laju dan kembali semula untuk ditunda dengan kapal lain.

Penggunaan kapal selam dalam aktiviti penyeludupan dadah ini mula dibongkar pada tahun 2017 lagi dengan tentera Columbia merampas sebuah kapal selam kecil yang dikuasakan oleh 100 unit bateri di tengah hutan Columbia. Turut ditahan dalam serbuan terbabit ialah jurutera kapal selam yang berasal dari Rusia, motor elektrik, 100 unit bateri dan juga tenaga buruh untuk membina kapal selam sendiri dalam hutan.

Tabik spring betul, dadah punya pasal sanggup buat kapal selam sendiri.

Google ads
Back to top button