Buletin

KASTAM PATAH CUBAAN SELUDUP 2,626 RIM KERETA BUATAN JEPUN

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis di sini berjaya mematahkan cubaan menyeludup 2,626 rim kereta bernilai RM636,235 dalam dua lori kontena ke negara ini dengan mengikrarkan secara tidak benar dalam dokumen import Borang Kastam 1 (K1).

Sepasukan anggota JKDM dari Cawangan Penguatkuasaan Padang Besar yang melakukan pemeriksaan ke atas dua lori kontena menggunakan nombor pendaftaran Thailand dipandu dua lelaki dari negara jiran berusia 33 dan 51 tahun itu menemui rim kereta pelbagai saiz dari 15 inci (0.381 meter) hingga 19 inci (0.48 meter) yang dibawa masuk dari negara jiran.

Pengarah Kastam Negeri Perlis, Ismail Hashim berkata, kejadian itu berlaku di lorong pemeriksaan kenderaan perdagangan, Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Padang Besar pada jam 12 tengah hari 31 Mac lalu.

“Dokumen import Borang Kastam (K1) diserahkan kedua-dua pemandu lori kontena terbabit mendapati sejumlah besar rim buatan Jepun berkualiti tinggi itu bersaiz 15 inci didapati secara sengaja tidak diikrarkan dalam dokumen berkenaan.

“Susulan itu kita menahan kedua-dua pemandu dan wakil syarikat penghantaran iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 46 tahun untuk membantu siasatan kejadian itu.

“Bagaimanapun, ketiga-tiga suspek dibebaskan dengan jaminan RM2,000 setiap seorang,” katanya.

Ismail berkata, siasatan pihaknya mendapati modus operandi dilakukan suspek dalam kes itu adalah membuat pengikraran tidak benar dan mengelirukan dalam Borang K1 (import).

“Mereka hanya mengikrarkan sebahagian barangan dibawa saja, namun terdapat sebilangan besar lagi barangan dibawa didapati sengaja tidak diikrarkan selepas imbasan berat dilakukan terhadap kontena itu didapati melebihi apa diikrarkan.

“Ini dilakukan untuk mengelak dikenakan duti dan cukai tinggi oleh kastam,” katanya.

Beliau berkata, rim berkenaan berkualiti dan akan dibawa ke Kuala Lumpur untuk dipasarkan di kedai aksesori kenderaan dengan harga jualan dipercayai RM2,000 bagi setiap satu set merangkumi empat tayar.

“Anggaran nilai rampasan sebanyak RM636,235 manakala duti dan cukai terbabit berjumlah RM166,081.05,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 133(1)(e) Akta Kastam 1967 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya. – Berita Harian

Google ads
Back to top button