Motosikal

BAJAJ PULSAR NS400 SERBA BAHARU LANCAR 3 MEI INI – 39HP, 35NM

Bajaj Auto bakal melancarkan model Pulsar paling berkuasa menerusi NS400 pada 3 Mei ini berdasarkan ‘teaser’ terbaru yang dimuat naik di media sosial. 

Teaser pendek itu tidak mendedahkan rupa sebenar Pulsar NS400 tersebut namun apa yang kelihatan adalah sedikit daripada bahagian tayar belakang yang jelas lebih besar berbanding NS200 dan NS250. 

Difahamkan, Pulsar NS400 ini akan dikuasakan platform sama yang terdapat pada Dominar 400 iaitu enjin satu silinder 373.3cc yang menjana 39hp pada 8,800rpm dan 35Nm pada 6,500rpm. Kuasa pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi manual 6-kelajuan yang dibantu klac slip dan assist.

Walaupun info masih samar namun Pulsar NS400 ini dijangka dilengkapi fork USD (upside/down), cakera brek depan dan belakang serta ABS dwi-saluran. 

Untuk rekod, motosikal Bajaj turut dipasarkan di Malaysia melalui Modenas menerusi penjenamaan semula. Ketika ini model yang dipasarkan disini termasuk Dominar 400, Dominar 250, Pulsar NS200, NS160 dan RS200. Bagaimanapun, Pulsar NS250 masih tidak dipasarkan di Malaysia ketika ini.

Info terperinci mengenai Bajaj Pulsar NS400 dijangka akan didedahkan pada 3 Mei nanti. 

Google ads
Back to top button