
Idea motosikal berkonsepkan klasik bukanlah sesuatu yang baru pada motosikal moden. Ia mempunyai pasaran yang besar dan jika anda perasan, motosikal dari China banyak yang cuba “meniru” konsep retro, cafe racer dan klasik tapi disebabkan ia made in china, tak ramai yang ambil peduli pun.
Tapi, apabila ia dikeluarkan oleh jenama Jepun, lihat sahaja Honda CB650, Suzuki Katana, dengan pantas mendapat liputan meluas.
Semalam, Yamaha Thailand melancarkan debut dunia Yamaha XSR155 dalam acara Global Premiere Launching. Didatangkan dengan konsep Sport Herritage ini dijual pada harga 91,500 Baht atau sekitar RM12,000.
Ia merupakan motosikal dengan genre sport moden dengan gaya retro yang dibina menggunakan asas platform model Yamaha YZF-R15. Dalam rangkaian enjin 155cc Yamaha, R15 merupakan varian paling model dengan kelengkapan kepala selinder berteknologi VVA, kotak gear enam kelajuan dan suspensi hadapan jenis USD.
XSR155 dikuasakan oleh enjin satu selinder 155cc VVA sejukan cecair dengan Assist-And Slipper Clutch. Ia dipasangkan pada kerangka delta-box sama dengan R15, lengan ayun belakang buatan aluminium dan sistem suspensi belakang monoshock.
Namun ada beberapa perubahan dibuat untuk menampilkannya sebagai retro-sport seperti lampu hadapan bulat. Lampu belakang terpisah, kerusi bersalut kulit dengan jahitan klasik, bentangan meter yang lebih retro dan juga penggunaan warna yang “suram” gaya retro.
GALERI