Artikel Pilihan

SEGALANYA TENTANG PERLUMBAAN DRAG

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita akan membincangkan serba sedikit tentang perihal salah satu cabang dalam sukan Automotif yang dikenali sebagai “Drag Racing”.

Bersandarkan pada topik ini, kita pergi jauh ke Amerika kerana di sana lah sukan ini bermula dan meraih populariti hingga ke nusantara.

Sejarah sukan ini bermula sejak tahun 1955. Ketika ini sukan ini dilangsungkan di lapangan terbang kerana belum ada trek yang sesuai. Bermula pada tahun 1960, sistem pemasaan elektronik telah diguna pakai untuk merekodkan halaju dan masa jentera-jentera Drag ini.

Di Amerika sana, terdapat satu organisasi yang menyelia perlumbaan Drag ini. Organisasi ini dikenali sebagai National Hot Rod Association (NHRA).

NHRA ditubuhkan pada tahun 1951 oleh Wally Parks. Dan pada tahun 1955 NHRA menganjurkan perlumbaan pertama mereka.

Sukan ini berkembang dengan cepat sehinggalah pada tahun 1993 pihak Fédération Internationale de l’Automobile atau lebih dikenali dengan FIA mengiktiraf NHRA dan sukan ini. Setelah itu, pihak FIA menubuhkan “FIA Drag Racing Commision” untuk menyelia perihal sukan Drag ini.

SIRI PERLUMBAAN

Sekarang kita pergi ke siri perlumbaan. Siri perlumbaan Drag seliaan NHRA terbahagi kepada 2 kategori utama iaitu NHRA Championship Drag Racing Series dan NHRA Sportsman Drag Racing Series.

Bagi Championship Drag Series, pengkelasan terbahagi kepada 4 kelas utama iaitu :-

– Top Fuel Dragster
– Funny Car
– Pro Stock
– Pro Stock Motorcycle

Bagi Sportsman Drag Racing Series pula, tidak dinyatakan dengan jelas berapa kelas yang dianjurkan namun dibawah merupakan kelas yang selalu dianjurkan.

– Snowmobile
– Motorcycle Classes
– Super Street
– Super Gas
– Stock Eliminator
– Super Stock
– Competition Eliminator
– Super Comp
– Top Sportsman
– Top Dragster
– Top Alcohol Dragster
– Top Alcohol Funny Car

Banyak bukan ? Mana yang paling laju ? Sudah semestinya kelas Top Fuel Dragster di dalam kategori Championship Drag Racing Series. Mana taknya, dengan kuasa jentera lebih kurang 10,000hp dan mencapai kelajuan lebih kurang 500km/h di trek sepanjang 305m (1,000 kaki), tiada apa yang lebih laju di atas bumi ini melainkan jentera ini. Jet pejuang pun tak boleh memecut selaju ini.

Cerita pasal trek pula, sebenarnya trek asal adalah sepanjang 400m (1,320 kaki). Namun pada tahun 2008, pemandu Funny Car iaitu Scott Kalitta mengalami kemalangan maut.

Insiden ini berpunca daripada letupan yang berlaku pada enjin ketika jentera hampir sampai ke garisan penamat. Kelajuan yang direkodkan ketika kemalangan berlaku adalah sekita 480km/h.

Ketika siasatan kemalangan tersebut masih berjalan, pihak NHRA mengambil langkah memendekkan trek kepada 305m (1,000 kaki) dan pelbagai ciri-ciri keselamatan telah ditambah.

Pada awalnya hanya beberapa trek sahaja yang dipendekkan. Sehinggalah pada tahun 2012, pihak FIA menyatakan pengajuran Drag Racing yang sah hanya akan berlangsung di trek sepanjang 305m (1,000 kaki) sahaja.

Jadi, jika sesebuah perlumbaan itu berlangsung di trek 400m (1,320 kaki), ianya tidak diiktiraf dan pihak FIA dan NHRA tidak akan bertanggungjawab atas apa yang berlaku sepanjang perlumbaan berlangsung.

Sampai disini sahaja kah peranan NHRA? Tidak Tuan-Tuan.

Pihak NHRA juga bertanggungjawab menetapkan spesifikasi jentera serta bahan bakar yang digunakan. Begitu juga dengan ciri-ciri keselamatan mandatori. Barulah adil. Barulah selamat.

FUNNY CAR

Di sini saya ingin sentuh sedikit tentang kelas Funny Car. Funny Car ini merupakan satu kelas dimana pasukan hendaklah menggunakan “Fibreglass atau Carbon Fibre Body” untuk menutup cesi. Kalau Top Fuel terang-terang boleh nampak cesi, Funny Car pula korang cuma nampak badan jentera dengan tayar sahaja.

Buat masa ini, ada 4 jenama utama yang bersaing dalam kelas Funny Car ini iaitu

– Chevrolet Camaro
– Dodge Charger
– Ford Mustang
– Toyota Camry

Kahkahkah, kat sini Camry kena cop abah abah je. Kat sana masuk Drag Strip Tuan-Tuan.

Oh ya, Sportsman Drag Racing Series ni pula macam mana?

Siri perlumbaan di dalam kategori ini adalah bertujuan sebagai platform pertama pasukan dalam menyertai perlumbaan professional. Ia juga merupakan platform mencungkil bakat-bakat baru dan muda. Beginner Level lah omputeh kata.

Kuasa yang dihamburkan oleh jentera-jentera Sportsman Drag Racing Series pula kebiasaannya adalah suku atau separuh dari kuasa yang dihamburkan Top Fuel mahupun Funny Car. Dalam lingkungan 3,000-4,000hp. Hahaha. Ni pun dah laju Tuan-Tuan. Mahu patah tengkuk bila memecut. Belum lagi cerita bila payung belakang buka bila brek.

Untuk pemandu pula, bukan biasa-biasa punya manusia boleh memandu jentera-jentera Drag ini. Tekanan graviti yang dialami pemandu adalah sekitar 4G dan tekanan mampu meningkat sehingga 8G. Tinggi tekanan ni.

Sebagai perbandingan, Roller Coaster mampu memberikan anda tekanan graviti sekuat 3.5G. Jadi, sepertimana latihan yang diterapkan kepada pemandu F1, begitu juga lah latihan yang harus dilalui oleh pemandu jentera Drag ini.

DRAG RACING DI MALAYSIA

Kita berbalik pada sukan ini di Malaysia. Kita sendiri dapat lihat bagaimana berkembangnya sukan ini di negara kita. Banyak pasukan serta persendirian yang terlibat.

Cuma apa yang dikesalkan pihak berwajib masih tidak dapat menyediakan trek yang sesuai. Untuk pengetahuan, pasukan negara kita juga tidak kurang hebatnya dengan penyertaan di negara jiran seperti siri Souped Up.

Jika ada lagi pasukan negara kita yang turut serta, marilah kita beramai-ramai memberikan sokongan serta apa jua sumbangan yang patut. Jika berterusan mendapat sokongan, tak mustahil satu hari nanti kita mampu menganjurkan sukan ini secara besar-besaran dan mempunyai jentera Top Fuel buatan anak tempatan. Siapa tahu kan ?

Jadi inilah sedikit sebanyak yang saya dapat kongsikan tentang permulaan sukan Drag. Ada banyak lagi yang akan dikongsikan di artikel akan datang.

Google ads
Back to top button