
KERETA ELEKTRIK PERODUA DILANCAR AKHIR BULAN INI, JADI AGENDA NASIONAL – PMX
Pelancaran kenderaan elektrik (EV) oleh PERODUA akhir bulan ini akan menjadi Agenda Nasional, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menyifatkan EV PERODUA itu memenuhi konsep dan falsafah yang cukup MADANI.
Menurutnya, EV PERODUA itu mampan, mesra alam, mampu milik dan berteknologi moden dan canggih.
Tambahan pula, katanya, model EV PERODUA itu dibangunkan oleh kepakaran tempatan terutama oleh Bumiputera.

“Saya sebutkan ia memenuhi konsep MADANI, memandangkan ia mampu milik. Pengeluaran mesti memenuhi kehendak nasional dan menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih segar.
“Saya akan beri arahan kepada Jemaah Menteri bahawa peluncuran PERODUA kali ini dijadikan sebagai satu Agenda Nasional yang besar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi lawatan dan ramah mesra Perdana Menteri bersama warga kerja PERODUA di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Pengerusi PERODUA, Tan Sri Asmat Kamaludin dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad.
Pada sesi lawatan itu, Perdana Menteri dibawa melihat sendiri model EV PERODUA itu.
Beliau melahirkan kekaguman reka bentuk EV yang dihasilkan di PERODUA dan menyifatkan penampilan kenderaan itu sangat elegan.
“Penampilannya sangat elegan. Saya fikir reka bentuk dari barat, tetapi ia di sini, di PERODUA. Saya yakin dengan apa yang saya saksikan dan juga penjelasan yang diberikan,” katanya.
Perdana Menteri juga memberi jaminan bahawa beliau boleh menjadi ‘pegawai pemasaran’ PERODUA yang utama tanpa gaji dalam mempromosikan EV PERODUA dalam lawatannya ke luar negara.
Beliau berkata, dalam satu dua minggu ini beliau akan ke Afrika Selatan, Kenya dan Ethiopia.
“Saya bagi jaminan, saya akan jadi pegawai pemasaran PERODUA yang utama. Tidak ada bayaran, tak ambil gaji,” katanya menarik perhatian kakitangan PERODUA.
Zainal Abidin sebelum ini menyatakan bahawa model EV berkenaan dijangka ditawarkan pada harga di bawah RM80,000.
Menurutnya, EV berkenaan akan menggunakan komponen tempatan bagi bahagian kritikal, dengan sasaran kadar penggunaan komponen tempatan melebihi 60 peratus.
Sasaran pasaran utama PERODUA adalah golongan muda dan keluarga kecil.
Dalam usaha meningkatkan keyakinan pengguna terhadap EV tempatan, PERODUA turut memberi jaminan bahawa nilai jualan semula model berkenaan akan kekal tinggi, meskipun selepas bertahun-tahun digunakan. – Berita Harian
- BACA: BYD ATTO 3 2026 DIPERKENALKAN DI CHINA – JARAK GERAK 650KM, JANA KUASA 308HP
- BACA: SUPERCAR DENZA Z MULA UJI LITAR NÜRBURGRING, KUASA DIRAMAL MELEBIHI 1,000HP!
- BACA: OTT TANAK DAH TANAK BERLUMBA RALI TAHUN HADAPAN. DAH KENAPA TANAK BERLUMBA LAGI?
- BACA: MERCEDES-BENZ MALAYSIA DAN NZ WHEELS RASMI LANCAR STARS@MERCEDES-BENZ BANGSAR








