
KIA SERTAI PERSAINGAN SEGMEN PLUG-IN HYBRID DENGAN OPTIMA PHEV
Kia menjadi pengeluar kenderaan terbaharu yang menyertai segmen plug-in hybrid apabila memperkenalkan model Optima PHEV.
Pengenalan sedan tersebut nyata selari dengan misi Kia untuk mengurangkan emisi CO2 rangkaian produknya sebanyak 25 peratus menjelang akhir dekad ini.
Model PHEV pertama Kia itu ditawarkan pada harga £31,495 (RM167,000) selepas ditolak dengan geran kenderaan plug-in oleh kerajaan Britain.
Optima PHEV dijana oleh enjin petrol bersesaran 2.0 liter. Apabila digabungkan dengan motor elektrik, ia mampu menghasilkan kuasa mencecah 202bhp dan tork 375Nm.
Sistem hibridnya disokong oleh oek bateri polimer lithium-ion 9.8kWh yang mampu menghasilkan lebih banyak tenaga berbanding bateri pada model Optima Hybrid sebelum ini.
Jentera ini mampu bergerak sejauh 53 kilometer dalam mode elektrik sepenuhnya. Bacaan emisinya cuma 337g/km. Dengan rekaan aerodinamik dan pekali seretan 0.25, Optima PHEV berupaya mencatat penggunan bahan api sekitar 75 kilometer bagi setiap liter petrol.
Kia meletakkan Optime PHEV sebagai model tersendiri dalam rangkaian Optima. Semua teknologi ketersambungan dan bantuan pemandu yang terkini dipasang sebagai ciri standard. Ini termasuklah sistem navigasi bersama skrin sentuh bersaiz lapan inci dengan peta Eropah, Android Auto dan Apple CarPlay (akan dipasang kemudian).
Bukan itu sahaja, Kia Connected Services yang dikuasakan oleh TomTom®, pengecas telefon tanpa wayar, monitor pandangan keliling 270o serta sistem audio harman/kardon Premium Sound dengan 10 unit pembesar suara dan teknologi Clari-Fi turut disediakan.
Bagi menawarkan kualiti pengendalian yang mantap, suspensi bebas Optima PHEV telah ditala khas dan ia menggunakan brek berdiameter lebih besar.
Jualan kenderaan hibrid di UK dan Eropah mencatatkan pertumbuhan dua kali ganda sejak lima tahun lalu. Jumlahnya dijangka mencecah 700,000 menjelang akhir dekad ini. Jadi, Kia mengharapkan Optima PHEV dapat mengambil kesempatan atas perkembangan positif tersebut.











