
KIA CARENS CLAVIS DAN CARENS CLAVIS EV LAKU KERAS DI INDIA, TEMPAHAN LEBIH 21 RIBU!
Kia Carens generasi keempat diperkenalkan di India pada Disember 2021 dan dilancarkan di Indonesia pada Ogos 2022.
Model ini bertambah premium apabila Kia memperkenalkan Carens Clavis di India pada Mei 2025. Tidak terhenti di situ, Carens semakin canggih apabila Carens Clavis EV menyusul di India sebulan selepas itu.
Kia India kini mengumumkan pencapaian penting Carens Clavis dan Carens Clavis EV. Kedua-dua model ini telah menerima lebih 21,000 tempahan dalam tempoh hanya empat bulan sejak dilancarkan.
Angka ini terdiri daripada lebih 20,000 tempahan untuk Carens Clavis dan lebih 1,000 tempahan bagi Carens Clavis EV.
Kia Carens Clavis

Model ini ditawarkan pada harga permulaan ₹11,49,900, yang bersamaan dengan sekitar RM55,274.
Kia Carens Clavis direka untuk keluarga yang mencari keseimbangan antara gaya dan praktikaliti.
Ia menggabungkan kekuatan SUV, keselesaan MPV, dan kepelbagaian kereta keluarga, sesuai untuk pemanduan harian mahupun perjalanan jauh.

Ciri-ciri dalaman termasuk tempat duduk baris kedua yang boleh gelongsor, disandarkan, dan boleh dilipat secara elektrik dengan satu sentuhan, serta Mod Boss untuk akses mudah ke baris ketiga.
Kabin dilengkapi paparan dwi-panoramik 26.62cm (12.3 inci) yang mengintegrasikan sistem maklumat hibur dan maklumat pemandu, sistem audio Bose 8-speaker.
Turut dilengkapi, pencahayaan ambien 64 warna, kamera dwi-papan pemuka dan suis pertukaran kawalan iklim/maklumat hibur.

Dari segi keselamatan, ia dilengkapi Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Tahap 2 yang menawarkan lebih 20 ciri keselamatan autonomi.
Pakej keselamatan pasif merangkumi 18 ciri standard, seperti enam beg udara, Kawalan Kestabilan Elektronik, Amaran Penghuni Belakang, dan monitor pandangan keliling 360°.
Kia Carens Clavis EV

Model elektrik ini pula ditawarkan pada harga permulaan ₹17,99,000, iaitu kira-kira RM86,478.
Ia adalah kenderaan elektrik pertama buatan Kia di India, direka untuk memenuhi keperluan pelanggan EV yang berkembang pesat.
Model tujuh tempat duduk ini digerakkan oleh motor 171 ps dan tork 255 Nm, menjanjikan prestasi yang lancar dan cekap.

Dua pilihan bateri disediakan iaitu 51.4 kWj dengan jarak perjalanan 490 km dan 42 kWj dengan jarak 404 km.
Pengecasan pantas DC 100 kW membolehkan bateri dicas dari 10% ke 80% dalam hanya 39 minit.
Ciri-ciri lain termasuk paparan dwi-panoramik 67.62cm (26.62 inci) dan 90 ciri kereta bersambung. Sama seperti model ICE, ia turut dilengkapi dengan ADAS Tahap 2 dan pakej keselamatan pasif yang komprehensif.

Kia Carens Clavis












Kia Carens Clavis EV















