Buletin

KINGSLEY DEFENDER JELMAAN BAHARU LAND ROVER DEFENDER, UNTUK PELANGGAN ANTARABANGSA, HAMPIR RM800 RIBU DI UK

Ditubuhkan pada 2001 di Oxfordshire, United Kingdom, Kingsley menumpukan perhatian pada projek baik pulih Land Rover Defender untuk pelanggan individu dan projek khas pelanggan.

Sehingga kini Kingsley telah membaik pulih, membangunkan semula dan menyelenggara lebih 500 buah Land Rover dan Range Rover.

Terbaru syarikat menawarkan siri Kingsley Defender yang direka untuk pemandu moden.

Kingsley Defender ditawarkan dalam dua gaya badan D90 (jarak roda pendek) dan D110 (jarak roda panjang).

Apa yang menarik, Kingsley memaklumkan jip ini dibangunkan bagi memberi tahap kecanggihan dan keselesaan setara Range Rover.

D90 menekankan aspek kelincahan dan serba boleh dengan saiz yang kompak dan pengendalian menjadikannya sesuai untuk pemanduan di bandar dan laluan off-road.

Jip ini boleh memuatkan dua sehingga enam kerusi dan berat yang lebih rendah menyumbang kepada pengalaman pemanduan yang lebih menyeronokkan.

Model D110 dengan jarak roda lebih panjang pula boleh memuatkan dua sehingga sembilan tempat duduk dan pilihan untuk pelanggan yang mahu ruang tambahan dan keupayaan off-road.

Kingsley Defender bukan setakat projek baik pulih tetapi idea baharu model ikonik Land Rover. Setiap unit memakan masa kira-kira 1,500 jam untuk disiapkan.

Model standard Kingsley Defender menggunakan rangkaian kuasa asal yang dibaik pulih bagi memudahkan import dan eksport dan ditawarkan dengan pelbagai naik taraf.

Unit demonstrasi Kingsley D90 pula berbeza dengan enjin pilihan 4.2 liter V8 yang menghasilkan 220 bhp dan tork 360Nm.

Pecutan dari 0 sehingga 60 batu sejam (97 km/j) memerlukan 9.5 saat dan kelajuan tertinggi mencecah 161 km/j.

Enjin dipadan bersama kotak gear manual atau pilihan kotak gear automatik empat sehingga lapan kelajuan.

Kingsley juga menawarkan enjin diesel dari Rover, V8 petrol atau Chevrolet LS3/LT1 V8.

Untuk bahagian dalam, pelanggan boleh memilih pakej baik pulih perkakasan asal atau tempahan khas dengan balutan kulit Nappa dan riasan Alcantara.

Gugusan meter yang dinaik taraf dan stereng diameter kecil memberi pengalaman pemanduan berbeza.

Bahagian luar boleh dibuat dalam warna khas pilihan pelanggan dan menariknya boleh ditempah bersama balutan PPF atau lapisan seramik.

Sistem ampaian dan pembrekan juga dinaik taraf dengan suspensi aktif kawalan elektronik dan angkup brek depan lebih besar. Tayar Goodrich dipadan bersama rim 18 inci.

Selain pilihan D90 dan D110, pelanggan ditawarkan pelbagai pilihan bumbung sama ada jenis biasa, kaca panoramik, terbuka dengan penutup kanvas depan atau terlindung penuh.

Pemilik juga boleh menikmati kerusi dengan fungsi pemanas dan perkakasan lain seperti sistem pengawasan tekanan tayar dan set audio.

Kingsley Defender ditawarkan untuk pelanggan di seluruh dunia dan harga bermula daripada 140,000 pound (RM792,463) termasuk VAT.

Google ads
Back to top button