
LAND ROVER DEFENDER FACELIFT TAMPIL LEBIH GARANG, VARIAN EMPAT TEMPAT DUDUK JADI TUMPUAN
Selepas lebih lima tahun berada di pasaran tanpa perubahan besar, Land Rover kini dilihat sedang menguji versi facelift bagi model lasak ikonik mereka, Defender.
Walaupun masih diselubungi pelekat samaran, beberapa perubahan ketara sudah mula kelihatan pada prototaip yang diuji di jalan raya.
Bahagian hadapan menerima sentuhan baharu dengan rekaan bampar lebih agresif serta bukaan udara bawah yang lebih besar. Lampu kabus juga dilihat tampil dengan saiz lebih besar berbanding model semasa.

Selain itu, gril hadapan dipercayai menggunakan rekaan mesh lebih luas, sekali gus memberikan imej lebih moden dan garang.
Di belakang pula, perubahan tidak terlalu drastik tetapi bampar kini tampil dengan reflektor yang diposisikan lebih tinggi. Rekaan bampar baharu itu juga dilihat kurang menonjol keluar, menjadikan rupa keseluruhan lebih kemas.
Defender facelift ini turut menerima spoiler baharu yang disepadukan pada bahagian bumbung, dipercayai membantu meningkatkan kecekapan aerodinamik SUV berkenaan.

Menariknya, perubahan paling ketara sebenarnya berlaku di ruang kabin. Prototaip yang diuji menunjukkan tempat duduk baris kedua jenis bangku telah digantikan dengan kerusi kapten individu.
Sebelum ini konfigurasi sedemikian hanya ditawarkan pada Defender 130, namun ia dijangka bakal diperkenalkan pada varian lain termasuk Defender 110.
Dari aspek kuasa, Land Rover masih belum mengesahkan sebarang perubahan rasmi.
Ketika ini, Defender ditawarkan dengan pelbagai pilihan enjin termasuk unit 2.0 liter turbo empat silinder berkuasa 296hp, enjin 3.0 liter enam silinder turbo dengan 395hp, serta V8 5.0 liter supercharged yang menghasilkan 493hp.

Turut berada dalam senarai ialah enjin V8 4.4 liter twin-turbo berkuasa sehingga 626hp untuk varian prestasi tinggi.
Namun begitu, ada kemungkinan enjin V8 5.0 liter supercharged akan dihentikan sepenuhnya dan digantikan dengan unit 4.4 liter twin-turbo yang dijangka menghasilkan sekitar 523hp.
Dengan pembaharuan ini, Defender facelift dilihat bakal terus mengekalkan identitinya sebagai SUV off-road premium, sambil menawarkan elemen lebih moden dan praktikal untuk pengguna semasa.
- BACA: GEELY MULA LANGKAH BESAR DI EROPAH, BELI FASILITI FORD DI SEPANYOL
- BACA: DENZA B8 DEBUT DI MALAYSIA TAK LAMA LAGI – 603HP, JARAK GERAK 1,040KM (NEDC)
- BACA: MERCEDES-AMG GLC 43 4MATIC COUPÉ NIGHTFALL EDITION DILANCARKAN – HARGA MULA RM518K
- BACA: KUALA LUMPUR KEMBALI MENYALA DENGAN JENTERA DUCATI SEMPENA WE RIDE AS ONE 2026








