
LAND ROVER RANCANG DEFENDER KOMPAK BAHARU BERKUASA HIBRID
Model baharu yang dijangka menjadi anggota terkecil dalam keluarga Land Rover Defender bakal tampil dengan pilihan trenkuasa hibrid selain versi elektrik sepenuhnya.
SUV kompak berkenaan, yang sering disebut sebagai Defender Sport, akan dibangunkan menggunakan platform EMA generasi baharu milik JLR.
Walaupun nama rasminya masih belum diumumkan, model ini dikatakan bakal menjadi produk pertama yang dibangunkan sepenuhnya di bawah identiti Defender sebagai jenama tersendiri, selepas JLR memperkenalkan strategi “House of Brands” yang memisahkan Defender, Range Rover dan Discovery kepada entiti masing-masing.
JLR turut mengesahkan bahawa platform EMA bukan sahaja menyokong kenderaan elektrik bateri (BEV), malah akan turut menawarkan pilihan hibrid (HEV) bagi memenuhi permintaan pasaran global yang masih memerlukan alternatif selain EV sepenuhnya.
Pengarah Urusan Defender dan Discovery, Mark Cameron, memaklumkan pembangunan model tersebut kini berada pada tahap lanjut, namun beliau enggan mendedahkan tarikh pelancarannya.

Menurutnya, fokus utama adalah memastikan model baharu itu masih mengekalkan identiti sebenar Defender, termasuk ketahanan, keupayaan lasak dan karakter off-road yang menjadi simbol jenama tersebut.
Model berkenaan dilihat bakal hadir dengan sistem pacuan semua roda, kemungkinan menggunakan konfigurasi dua motor elektrik.
Namun, penggunaan platform elektrik moden dengan bateri bawah lantai memberi cabaran tersendiri terhadap aspek artikulasi suspensi dan jarak pergerakan roda berbanding Defender sedia ada.
Walaupun begitu, Cameron menegaskan Defender kompak ini tetap akan menawarkan kemampuan off-road yang kompetitif dalam kelasnya.
Katanya, sebuah Defender mesti kekal unggul dalam ciri-ciri utama yang menjadikan model itu unik, dan bukannya sekadar menjadi SUV biasa.
Dari segi saiz, Defender Sport dijangka memiliki panjang sekitar 4.5 meter, menjadikannya lebih kecil berbanding Defender 90. Platform EMA yang digunakan turut akan menjadi asas kepada beberapa model masa depan JLR lain seperti Range Rover Evoque dan Velar generasi baharu.
JLR turut mengakui pembangunan EV memberi cabaran besar dari sudut reka bentuk aerodinamik kerana bentuk badan Defender yang berkotak, tegak dan berimej utilitarian kurang ideal untuk memaksimumkan jarak perjalanan elektrik.
Namun syarikat itu mahu memastikan DNA Defender terus dikekalkan walaupun memasuki era elektrifikasi.
Menurut Cameron, JLR juga tidak mahu tergesa-gesa memendekkan tempoh ujian pembangunan semata-mata untuk mengejar kepantasan pesaing dari China.
Beliau menegaskan setiap model Defender masih perlu melalui sekurang-kurangnya dua kitaran ujian musim sejuk dan dua ujian cuaca panas bagi memastikan tahap ketahanan dan kualiti premium dapat dikekalkan.
Selain trenkuasa elektrik dan hibrid, JLR memberi bayangan bahawa enjin petrol serta diesel dengan teknologi hibrid ringan masih akan diteruskan untuk tempoh tertentu.
Apa yang pasti, JLR mahu memastikan setiap model masa depan Defender terus membawa imej lasak, tahan lama dan mampu bergerak ke mana sahaja, tanpa mengorbankan identiti asal jenama tersebut.







