
MERCEDES-BENZ G-WAGON HAMPIR 4 DEKAD BERKHIDMAT UNTUK DLRG JERMAN, LENGKAP DENGAN SUT SELAM!
Mercedes-Benz G-Wagon atau Geländewagen (off-road dalam bahasa Jerman) dikenali sebagai kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah.
Walaupun begitu, G-Wagon mempunyai banyak lagi kegunaan sebagai contoh pikap barang, penyelamat, ambulans, polis dan semestinya ketenteraan.
Sejarah G-Wagon bermula pada 1979 melalui pengenalan siri pertama Mercedes-Benz W460.
Seperti yang dikatakan, G-Wagon turut digunakan sebagai kenderaan keselamatan dan sebuah model 230 G milik Persatuan Penyelamat Nyawa Jerman (DLRG) masih tersimpan di Muzium Mercedes-Benz di Jerman.
Semasa diperkenalkan, keupayaan off-road W460 menarik perhatian badan bantuan seperti DLRG yang menumpukan pada penyelamatan berkaitan air.
Jip itu membolehkan pasukan penyelamat menggunakannya ke lokasi kecemasan yang sukar dilalui seperti pantai dan kawasan banjir.
230 G milik DLRG dibina oleh Ziegler sebagai kenderaan penyelamat air pada 1982 dan tahukah apa yang menarik? Jip ini digunakan selama hampir empat dekad dan hanya dibersarakan pada 2021!
Mercedes-Benz sebagai kenderaan keselamatan bukan baharu sebagai contoh Mercedes-Benz Unimog digunakan untuk pelbagai tujuan dan G Model meneruskan tradisi tersebut.
G-Wagen DLRG dibekalkan enjin 2.3 liter 102 kuasa kuda (hp) dengan tempat duduk depan untuk kru dan bahagian belakang sarat diisi kelengkapan keselamatan.
G-Wagen DLRG dilengkapi lampu isyarat biru, lampu depan tambahan, radio dua hala, winc kabel dan laci simpanan perkakasan pada bahagian tengah dan belakang.
Laci belakang direka supaya mudah dicapai. Selain itu, G-Wagen DLRG turut membawa tiga sut selam dan tiga pasang sirip selam, tolok kedalaman, snorkel dan pelbagai lagi peralatan di dalam air.
Banyak lagi perkakasan dibawa seperti silinder udara, pemampat, hos air, gergaji rantai dan pelbagai alatan sesuai dengan kegunaannya untuk kecemasan.
Keupayaan G-Wagen DLRG juga dibuktikan melalui redahan air semasa tugas-tugas menyelamat ketika banjir. Bukan itu sahaja, keupayaannya turut terbukti dalam menunda treler bot.
Tidak hanya bertugas di luar negara, syarikat tempatan Deftech turut menghasilkan G-Wagon untuk kegunaaan tentera negara.










