Buletin

KLIMS 2024: TOYOTA CAMRY 2025 – VARIAN HIBRID SAHAJA, BERMULA RM249K

UMW Toyota Motor memperkenalkan dua model baharu yang dinanti-nantikan ke pasaran tempatan, menerusi pelancaran Camry dan Corolla Cross 2025 baharu, yang akan membuat penampilan sulungnya di Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (KLIMS 2024) pada 4 Disember 2024. 

Toyota menawarkan pelbagai pilihan mobiliti untuk memenuhi keperluan dan gaya hidup pengguna masa kini.

Pilihan ini merangkumi jentera berkuasa enjin pembakaran dalaman (ICE), kenderaan elektrik hibrid (HEV) yang mesra alam, serta varian sporty GR Sport untuk mereka yang mahukan pengalaman pemanduan lebih dinamik dan bertenaga.

Pendekatan ini memastikan setiap pelanggan dapat menikmati sesuatu yang sesuai dengan keperluan dan cita rasa mereka.

Camry 2025 generasi ke-9 tampil sebagai penanda aras baharu dalam sedan segmen-D dengan gabungan sempurna kemewahan, prestasi mengagumkan, dan pengalaman pemanduan yang tiada tandingan. Jentera berkenaan hadir dalam varian 2.5 HEV.

Bukan sekadar sebuah kenderaan hibrid biasa, Camry 2025 dilengkapi sistem hibrid generasi ke-5 Toyota. Sistem itu menggabungkan enjin Dynamic Force berkuasa tinggi dengan transaxle elektrik kompak serta bateri lithium-ion. 

Gabungan teknologi ini menghasilkan kuasa pecutan yang lebih responsif, pelepasan emisi rendah, dan kecekapan bahan api yang tiada tandingan. 

Dari aspek reka bentuk luaran, Camry baharu menampilkan reka bentuk hadapan yang memikat dan dinamik, diinspirasikan oleh gaya “Hammerhead” yang diilhamkan daripada struktur menonjol ikan yu Hammerhead dan gaya mewah Toyota Crown. Gril atas yang tirus dan gril bawah yang lebar mencipta kombinasi sempurna antara gaya sofistikated dan agresif. 

Selain itu, tirai udara aerodinamik meningkatkan kestabilan pengendalian. Gabungan reka bentuk inovatif ini menjadikan Camry baharu sebagai simbol kecanggihan dan prestasi tinggi.

Menjengah ke dalam kabin, Camry 2025 menawarkan pengalaman yang memikat dengan reka bentuk dalaman yang mengutamakan keselesaan dan kemewahan. Tempat duduk ventilasi untuk pemandu dan penumpang hadapan direka untuk memberikan keselesaan maksimum, manakala roda stereng yang diperbaharui menambah sentuhan elegan yang memperkayakan cita rasa premium. 

Paparan multimedia 12.3 inci menjadi tumpuan utama, lengkap dengan ketersambungan tanpa wayar Apple CarPlay dan Android Auto (dengan wayar). Selain paparan maklumat pelbagai warna (MID) 12.3 inci turut disertakan untuk memberikan akses pantas dan intuitif kepada maklumat penting kenderaan. 

Gabungan teknologi dan reka bentuk ini menjadikan kabin Camry 2025 sebagai ruang yang sempurna untuk pemanduan moden.

Camry 2025 ditawarkan pada harga bermula RM248,800. Pelanggan boleh memilih daripada enam warna premium, termasuk pilihan baharu seperti Cement Grey, Dark Blue Mica, Precious Metal, dan Emotional Red, serta pilihan klasik seperti Platinum White Pearl dan Attitude Black.

GALERI

Google ads
Back to top button