
KOLABORASI BMW & TOYOTA
Pengeluar kereta mewah, BMW dan Toyota dilaporkan telah bersetuju untuk sama-sama membangunkan satu platform untuk kereta-kereta sports. Perkembangan itu disahkan oleh Ketua Pembangunan BMW, Herbert Diess kepada sebuah akhbar Jerman, Frankfurter Allgemeine Zeitung semalam.
“Kami bersetuju untuk membangunkan sebuah kereta sports. Apa yang lebih penting ialah akan wujud dua buah kereta yang tersendiri untuk kedua-dua jenama ini,” kata Diess.
Januari lalu, BMW dan Toyota ada menandatangani perjanjian untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang termasuklah teknologi ringan dan bateri lithium-air.
Pada ketika itu, kedua-dua pengeluar berpengaruh tersebut turut menyatakan akan mengkaji potensi kerjasama untuk membina kereta sports bersaiz sederhana. Kajian itu dijangka disempurnakan pada hujung tahun ini.








