Buletin

KPDNHEP RAMPAS MINYAK PELINCIR PALSU BERNILAI RM257,000

Taktik sebuah premis yang menjual minyak enjin palsu yang dibungkus semula sebagai jenama terkenal, tumpas apabila operasi dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Ayer Tawar, Perak semalam.

Ketua Penguatkuasa cawangan Perak, Khalid Tik berkata operasi yang melibatkan 21 anggota penguatkuasa dari Putrajaya dan Perak juga memeriksa dua premis menjual alat ganti di Sitiawan.

Beliau berkata berikutan pemeriksaan, pasukan itu merampas 209 tong minyak yang dianggarkan bernilai RM257,000.

Khalid berkata empat lelaki dan dua wanita berusia antara 25 dan 40 tahun ditahan dalam operasi yang dijalankan pada jam 2.30 petang.

“Kami mengesyaki bahawa barangan yang dirampas adalah produk palsu berdasarkan kualiti dan kod yang tidak sepadan dengan kod produk asal.

“Minyak palsu itu dihasilkan dengan menggunakan campuran minyak kitar semula dan kami telah merampas 187 buah minyak enjin palsu di premis pertama manakala bakinya ditemui di premis kedua di Sitiawan,” katanya pada sidang akhbar.

Mengulas lanjut, Khalid berkata pasukan penguatkuasa mengetahui bahawa produk palsu telah dipasarkan kepada agensi kerajaan, pengedar alat ganti dan pengendali bengkel di sekitar Perak dan Selangor pada harga pasaran biasa.

KREDIT: BERNAMA

Tags
Google ads
Back to top button