Buletin

HONDA BRIO DI FILIPINA, TIDAK SAMPAI RM47K

Untuk makluman dari bulan Januari hingga Mac 2019 Honda Malaysia Sdn Bhd berjaya menjual 22,190 unit kereta.

Angka tersebut masih lagi meletakkan Honda di hadapan Proton yang berada di kedudukan ketiga dengan jualan sebanyak 18,281 unit kereta.

Jualan Honda pada bulan Mac sahaja mencecah 6,136 unit berbanding Proton sebanyak 5,899 unit.

Lebih menarik kesemua model keluaran Honda mempunyai harga lebih tinggi berbanding Proton.

Honda sebenarnya berada di dalam keadaan selesa dan masih mempunyai banyak produk yang tidak dilancarkan di pasaran tempatan.

Contoh terdekat ialah model segmen A iaitu Honda Brio.

Model yang berada dalam segmen sama seperti Perodua Axia dan Kia Picanto ini baru sahaja dilancarkan di Filipina pada 23 April lalu.

Honda Cars Philippines, Inc. (HCPI) melancarkan Brio yang merupakan penawaran pertama Honda di dalam segmen A.

HCPI menawarkan Brio sebagai respon kepada pelanggan yang mahukan sebuah jenama sinonim dengan gaya dan praktikal dalam satu pakej mampu milik.

Brio generasi kedua dibangun berdasarkan konsep Proud Over Class dengan ciri-ciri setahap lebih tinggi daripada segmennya terutama sekali dari segi saiz.

Hasil daripada saiz baharu, ruang dalaman lebih luas dan selesa dengan ruang bagasi sebanyak 258 liter dan meningkat kepada 710 liter apabila kerusi belakang direbahkan.

Dari segi nadi kuasa, Brio ditawarkan dengan hanya satu jenis enjin bersesaran 1.2 liter SOHC i-VTEC yang dipadankan bersama transmisi CVT  atau lima kelajuan manual.

Enjin tersebut 90 ps pada 6,000 rpm and 109 Nm pada 4,800 rpm.

Untuk pelanggan yang mahukan sesuatu lebih sporti, jawapannya ialah pada Brio RS.

Varian istimewa ini didatangkan dengan beberapa perbezaan kosmetik seperti gril RS hitam piano, roda aloi RS 15 inci, skirt sisi dan belakang dan juga spoiler bumbung.

Bahagian dalam pula dikenakan kemasan oren pada bahagian papan pemuka dan kulit pintu. Kerusi turut berbeza dengan warna hitam dan riasan oren.

Dari segi keselamatan Brio dilengkapi dua beg udara dan ABS sebagai ciri-ciri standard.

Berikut ialah harga pengenalan Honda Brio pasaran Filipina:

  • 1.2 RS Black Top Navi CVT: Php 732,000 / RM 58,186
  • 1.2 RS Navi CVT: PHP 727,000 / RM 57,760
  • 1.2 V CVT: PHP 646,000 / RM 51,324
  • 1.2 S MT: PHP 585,000 / RM 46,474

*1 PHP = RM 0.07948

Berdasarkan harga dan pakej di atas, wajarkah Brio diperkenal di pasaran tempatan? Mampukah jagoan Honda ini bersaing dengan Perodua dan Proton?

Google ads
Back to top button