Buletin

GUGURNYA AIR MATA AZIZULHASNI DI VELODROM IZU. HADIAHKAN PINGAT PERAK UNTUK MALAYSIA

Perasaan suka dan duka diluahkan pelumba negara Datuk Azizulhasni Awang apabila melakar pingat perak untuk negara.

Biarpun, tidak berjaya merangkul pingat emas, kayuhan bertenaga pelumba kelahiran Terengganu itu perlu diberi pujian kerana telah memberikan yang terbaik sepanjang pentas Olimpik.

Azizul sudah mengerah sepenuh tenaganya dan memberikan yang terbaik namun percaturan pelumba Britain, Jason Kenny gagal dikekang yang akhirnya menyaksikan Kenny merangkul emas manakala gangsa milik juara dunia dari Belanda, Harrie Lavreysen.

Ia bukan satu perjalanan yang mudah buat Azizul yang terlalu banyak berkorban demi memastikan emas berjaya dimiliki negara.

“Suka dan duka. Tapi inilah sukan. Ada up and down. Ada ketika kita nak menang tapi benda tak boleh nak kawal. Tapi saya nak rakyat Malaysia tahu, daripada awal sampailah ke final saya beri lebih daripada yang terbaik.

“Masa saya kayuh tadi saya teringat anak saya di Melbourne, isteri saya, mak saya, ayah saya. Daripada saya umur 15 tahun saya tinggal kampung, mak saya tinggal seorang. Masa saya terbang ke Tokyo saya dapat tahu ayah saya masuk hospital di serang mild strok.

“Tapi adik-beradik saya mahu saya fokus Olimpik. Saya tiada pilihan, saya fikirkan tanggungjawab saya kepada negara.

“Masa saya kayuh saya ingatkan mereka semua, saya harap mereka semua tak kecewa dengan keputusan ini. Saya sudah buat yang terbaik untuk mereka untuk rakyat Malaysia dan untuk sukan negara kita,” katanya.

Namun dalam keadaan duka itu, Azizul diberikan khabar gembira bahawa dia bakal menimbang cahaya mata ketiga perkara itu sedikit sebanyak mengubat kekecewaannya itu.

Ditanya adakah dia akan terus bersama negara pada Olimpik, Paris 2024, Azizul berkata memang itu perancangannya namun buat ketika ini, dia memohon untuk diberi masa bertenang dan berehat terlebih dulu sebelum membuat sebarang keputusan. – HM

Google ads
Back to top button