
CAJ PENGHANTAR MAKANAN MAHAL, KPDNHEP ARAH MYCC JALANKAN KAJIAN TERPERINCI
Berikutan caj yang tinggi dikenakan oleh penyedia perkhidmatan penghantaran makanan ke atas pengguna, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengarahkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk menjalankan kajian terperinci.
Dalam satu kenyataan, KPDNHEP memberitahu MyCC kini sedang mengawasi dan menilai sama ada isu berkenaan bertentangan atau tidak dengan Akta Persaingan 2010.
MyCC dan KPDNHEP juga telah bertemu dengan pihak-pihak berkaitan termasuk pemain industri makanan dan minuman runcit untuk memahami isu-isu yang dibangkitkan.
Berdasarkan beberapa siri pertemuan lalu, MYCC mendapati wujud beberapa masalah dalam industri. Ia bukan sahaja terhad kepada persaingan, malah kepenggunaan.
“Sesi libat urus dengan penyedia platform penghantar makanan dan pengusaha restoran akan dilakukan bagi mendapat kos yang terlibat dan bagaimana kos itu dicaj kepada pengguna,” katanya.
MyCC juga akan menjalankan kajian terhadap perkhidmatan mereka serta mutunya, pengenaan yuran komisen dan harga makanan dan minuman (F&B) yang terlalu tinggi di platform berkenaan. –K! ONLINE