Buletin

LAGI DEMAM SUV – VW BAKAL KELUARKAN SUV KOMPAK T-CROSS

Nampaknya semakin hari semakin galak pengeluar kenderaan mengumumkan dan melancarkan model baharu SUV. Proton hendak keluarkan SUV, Perodua pun sama katanya hendak keluarkan semula Kembara.

Memang tidak dinafikan pengguna sekarang ini memang gemarkan SUV dan boleh dilihat melalui jumlah Honda CR-V, Nissan X-Trail, Mazda CX-5 dan segala macam lagi model.

Segmen SUV juga semakin menghimpit segmen kenderaan tradisional. Contoh terbaru ialah apabila Volkswagen memaklumkan bahawa mereka bakal mengeluarkan sebuah lagi SUV yang diberi nama T-Cross.

Tidak berapa lama dahulu, VW baru sahaja melancarkan SUV T-Roc. Jika T-Roc berada dalam segmen sama seperti Honda CR-V, Toyota C-HR dan Mazda CX-3, bagaimana pula dengan T-Cross?

VW T-Roc. SUV paling baharu, satu segmen dengan Honda HR-V, Mazda CX-3 dan Toyota C-HR.

T-Cross yang bakal dikeluarkan ini nanti lebih kecil daripada T-Roc. Ini bermakna SUV ini bakal bersaing dengan SUV kompak seperti Ford EcoSport atau contoh yang lebih senang ialah Perodua Kembara atau Nautica dahulu.

Susunan nama famili SUV VW pun senada. Touareg, Tiguan, T-Cross dan terbaru T-Roc. Kesemuanya bermula dengan huruf T.

Projek T-Cross ini sebenarnya bukan baru bermula atau saja-saja mengikut trend pesaing. Ia sebenarnya mula ditayangkan kepada umum pada Pameran Kenderaan Geneva 2016.

Pada masa itu, T-Cross hanya untuk kajian sahaja dulu dan sekarang ini bakal menjadi kenyataan dengan model produksi bakal dipertontonkan kepada umum dalam masa beberapa bulan lagi.

VW Tiguan. Dengar kata tengah top sekarang.

Seperti model baharu lain kumpulan VW, T-Cross dibina berasaskan platform MQB dan katanya kembar kepada Polo baharu.

Selain itu, memandangkan saiz T-Cross ini tidak besar mana, VW mengeksploitasi keadaan tersebut dengan menjadikan kerusi belakang boleh dilaras sama ada untuk ruang kaki atau bagasi yang lebih. 

Idea yang bagus memandangkan SUV kompak mempunyai ruang yang terhad dan pada masa sama perlu juga menjalankan fungsinya sebagai sebuah kenderaan yang praktikal.

VW T-Roc. Touareg. Tiguan. T-Cross. Pandai betul VW susun nama.

VW juga memaklumkan bahawa T-Cross ini juga bakal menjadi salah satu daripada model paling selamat dalam kelasnya sama ada dari segi impak pelanggaran dan juga sistem bantuan pemanduan.

Maknanya T-Cross ini nanti bukanlah SUV kosong atau funky sahaja tetapi juga dilengkapi teknologi keselamatan canggih. 

Seronok juga dengar perkembangan menarik begini dan harapnya tawaran VW di negara kita juga hebat seperti di pasaran global lain. Dengar kata, VW Tiguan mendapat sambutan hangat di negara kita walaupun segmen SUV begitu kompetitif dengan CR-V, CX-5 dan X-Trail.

Okay kita tunggu sama ada T-Roc atau T-Cross ini bakal dipasarkan di negara kita. SUV hipster ni.

BACA: VOLKSWAGEN TUKAR LOGO TAHUN DEPAN, MAHU JADI KURANG ‘JERMAN’

BACA: VW GOLF GTI TCR CONCEPT – RILEKS SUDAH, TAK PERLU SPOILER TINGGI

Google ads
Back to top button