Buletin

LAMBORGHINI TIDAK LAGI MAHU FOKUS HASILKAN MODEL RETRO KLASIK

Lamborghini Countach LPI 800-4 merupakan sebuah model kereta sports hibrid yang memberikan penghormatan kepada model asal Countach yang sangat bersegi itu.

Hanya 112 unit sahaja Countach moden yang akan dihasilkan, dan jika anda mahukan produk yang hampir sama daripada Lamborghini, anda pasti akan kecewa.

Ini kerana menurut ketua pegawai teknikal Lamborghini, Reuven Mohr berkata, syarikat itu kini memfokuskan kepada masa hadapan.

“Kami sebagai jenama, sekarang dan masa lalu, bukanlah sebuah syarikat berorientasikan retro. Saya pasti akan wujud pasaran untuk itu (model retro moden), namun ia tidak begitu sesuai dengan strategi kami.

“Kami selalu membuat perbandingan ini: cermin pandang belakang dalam sebuah kereta adalah lebih kecil berbanding cermin hadapan. Countach merupakan contoh spesifik untuk meraikan kereta tertentu.”

Dalam masa yang sama, Lamborghini tidak akan mengorak langkah baharu untuk menghasilkan model warisan atau projek restomod seperti yang dilakukan oleh pengeluar lain.

“Saya amat percaya, jika kami melakukan perkara tersebut (model warisan atau restomod), ia akan menarik minat daripada pelanggan kami. Tetapi, ia bukanlah sebahagian daripada falsafah kami.

“Kami tidak mahu mengorbankan kereta klasik kami hanya disebabkan pemilik yang mahukan secebis seni tersebut. Kami merupakan syarikat kecil, dan saya lebih suka untuk membuat pelaburan pada masa akan datang berbanding memfokuskan masa lalu.

Untuk itu, Lamborghini akan memperkenalkan model keempat yang lebih mesra pengguna yang turut menjadi kereta elektrik pertama jenama itu.

Selain daripada itu, sebuah Urus plug-in hybrid dan pengganti Aventador akan turut dilancarkan di mana ia akan menampilkan trenkuasa V12 plug-in hybrid. – Motor1

Google ads
Back to top button