Buletin

LASTIK KERETA BEKAS ISTERI DENGAN BEBOLA BESI, PENIAGA DIDENDA RM500

Seorang peniaga didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret di Kota Bharu, hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan melastik sebiji bola besi ke arah kereta bekas isterinya, minggu lalu.

Tertuduh, Edy Syu’aib Mohd Suhaimi, 36, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan khianat dengan melastik sebiji bola besi ke arah kereta jenis Kia Rio milik bekas isterinya yang berusia 36 tahun di hadapan Sekolah Kebangsaan Tapang di sini, kira-kira jam 7.30 malam pada 30 Mei lalu.

Perbuatan itu menyebabkan cermin belakang di sebelah kanan penumpang berlubang dan retak sehingga mangsa mengalami kerugian RM200.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin memohon hukuman yang setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran dan demi menjaga kepentingan awam.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Roshayati Hassan memohon hukuman ringan dikenakan terhadap anak guamnya kerana perbuatan itu dilakukan selepas tertuduh dihalang untuk bertemu empat anaknya.

“Sebelum kejadian, berlaku sedikit pertelingkahan antara mereka apabila bekas isteri tidak membenarkan tertuduh bertemu anak-anaknya.

“Tertuduh yang membuka kedai makan bersama ibunya itu menghidap penyakit migrain yang teruk dan kerap mendapat rawatan di hospital,” katanya.

Mahkamah kemudian mengenakan denda RM500 atau penjara selama 12 bulan sekiranya gagal bayar. Tertuduh membayar denda yang ditetapkan mahkamah. – Harian Metro 

Google ads
Back to top button