PASANGAN SUAMI ISTERI NEKAD TUNGGANG HONDA CRF 150, YAMAHA VEGA PERGI MEKAH
Sepasang suami isteri dari Jember, Jakarta Timur, Indonesia nekad menunggang motosikal menuju ke kota Mekah kerana terlalu rindu untuk menunaikan ibadat umrah di tanah suci itu.
Pasangan berkenaan masing-masing menunggang motosikal jenis Honda CRF 150 dan Yamaha Vega dijangka mengambil masa selama enam bulan untuk menamatkan pengembaraan terbabit.
Perjalanan dari Indonesia ke Arab Saudi dianggarkan sekitar 9,000 kilometer dan perlu melalui beberapa buah negara seperti Malaysia, Thailand, Myanmar, India, Pakistan,Oman dan Emiriyah Arab Bersatu.
Amir Faisol dan isterinya, Mintasih Suryawati memulakan perjalanan bermula pada 13 April lalu.
Lelaki berusia 57 tahun itu memberitahu, pada mulanya dia ingin melakukan kembara itu sendirian tetapi apabila ia diketahui Mintasih, isterinya merayu mahu ikut sekali dalam pengembaraan tersebut.
“Kami tidak membawa barangan yang banyak cuma keperluan penting sahaja untuk perjalanan ini.
“Keluarga juga menyokong niat kami kerana ia dilakukan dengan tujuan baik walaupun kelihatan sukar dilaksanakan,” katanya,
Detik pengembaraan mereka turut dirakam dan dimuat naik klip video tersebut di akaun YouTube Amir Brandal.
Amir turut meminta orang ramai berdoa supaya perjalanan ke Mekah dipermudahkan dan impian mereka untuk menunaikan umrah tercapai. -agensi