Buletin

LEBIH 190 STESEN MINYAK PETRON SEDIAKAN BANK MAKANAN UNTUK GOLONGAN MEMERLUKAN

Lebih 190 pengusaha stesen minyak Petron tampil untuk menganjurkan inisiatif ‘Jom Bantu Bank Makanan dan Meja Komuniti’ untuk komuniti yang terkesan akibat pandemik.

Mengambil inspirasi daripada mesej “Ambil Bila Perlu, Sumbang Jika Mampu,” pantri komuniti yang terletak di stesen minyak Petron itu bertujuan untuk memberi akses mudah ke atas keperluan asas kepada golongan yang memerlukan. Di samping memberi peluang kepada orang lain untuk membantu sektor yang terkesan.

Sebagai tanda solidariti dan sokongan, penduduk setempat dan pelanggan memberi sumbangan kepada meja komuniti ini. Kakitangan Petron turut menyampaikan sumbangan berupa wang tunai dan bahan makanan ke stesen minyak Petron.

“Ini merupakan tahun kedua kami menjalankan program bank makanan di stesen minyak Petron. Kami gembira untuk bekerjasama dengan pengusaha kami dalam membantu komuniti dan melaksanakan tanggungjawab sosial korporat. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pelanggan yang turut serta menyumbang dalam inisiatif ini,” kata Ketua Dagangan Runcit dan Perniagaan Komersial Petron Malaysia, Choong Kum Choy.

Senarai penuh stesen yang menyediakan meja komuniti ini boleh didapati di laman web korporat Petron  www.petronmalaysia.com.my beserta perincian cara menderma. Sebarang makluman juga akan disiarkan di laman Instagram dan Facebook Petron Malaysia.

“Dalam situasi pandemik di mana ramai yang hilang pekerjaan, kami berusaha sebaik mungkin untuk menyumbang kepada komuniti. Kami telah mula mengambil bahagian dalam inisiatif Jom Bantu ini sejak 3 Julai.

“Di Petron Sg. Besi Toll Southbound, kami menyediakan bahan makanan asas seperti beras, minyak masak, tepung, telur dan banyak lagi kepada mereka yang memerlukan. Kami juga menerima sumbangan dari orang ramai yang menyokong program bank makanan,” kata Sukinah Zulkiflli dari Tol Petron Sg. Besi Southbound.

Di Kota Kinabalu, Sabah, Petron Jalam Ulam North telah menyokong petani tempatan dengan membeli buah-buahan dan sayur-sayuran segar daripada mereka. 

“Kami membeli buah-buahan dan sayur-sayuran segar daripada petani di luar bandar untuk menyokong perniagaan tempatan. Kemudian kami berikan kepada orang yang memerlukan. Inisatif 2-dalam-1 ini merupakan cara kami untuk membantu orang ramai di kala pandemik ini,” kata Puan Philomena Munag, pengusaha stesen Petron Ulam North. 

Di Kedah, Petron Jalan Lunas FI menawarkan sumbangan ayam kepada masyarakat. “Saya sangat menyokong inisiatif Bank Makanan Petron bagi membantu mereka yang memerlukan. Kami mendapat idea untuk memberi seekor ayam sebagai tambahan kepada makanan dalam tin dan stok makanan kering di bank makanan kami. Sekurang-kurangnya mereka dapat menikmati hidangan ayam bersama keluarga dan membuatkan wajah anak-anak mereka tersenyum lebar,” kata Mohamad Zaini bin Yahya, pengusaha Petron Jalan Lunas FI.

Meja Komuniti ini menyediakan bahan asas seperti beras, gula, garam, tepung, minyak masak, biskut, telur, mi, makanan dalam tin, makanan kering, tisu dan sabun berserta pelbagai barang keperluan yang lain. Bahan ini boleh diperolehi di stesen yang terlibat dan percuma kepada mereka yang memerlukan.  

Petron turut bekerjasama dengan KPJ Healthcare (KPJ) untuk membuka lapan bank makanan KPJ di stesen minyak Petron yang terpilih bagi meluaskan lagi jangkauan terhadap golongan yang memerlukan dalam inisiatif ini. Bank makanan KPJ yang pertama dibuka di Petron New Larkin pada 23 Julai dan telah mendapat sambutan yang baik daripada masyarakat.

“Sambutan yang kami terima sangat luar biasa. Inisiatif bank makanan ini telah menghubungkan kami dengan masyarakat, mewujudkan ikatan komuniti yang kuat disamping memberi bantuan kepada komuniti. Ini bukanlah untuk wang atau populariti. Tetapi ianya tentang membantu orang lain untuk terus bersemangat dalam meneruskan kehidupan,” kata Azura Abu Bakar, Pengusaha Petron New Larkin, Johor Bahru.

Stesen-stesen minyak Petron di Johor turut bekerjasama dengan Kementerian Perdangangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor untuk menjayakan program pengumpulan makanan di 10 stesen minyak Petron. Program oleh KPDNHEP ini mengajak orang ramai untuk menderma makanan dan barangan keperluan asas untuk disalurkan kepada kumpulan sasaran oleh KPDNHEP Negeri.

“Kami berharap agar dapat menyampaikan bantuan kepada lebih ramai individu melalui jaringan usaha bersama pengusaha kami, KPJ, KPDNHEP Johor dan kakitangan kami supaya tiada siapa yang ketinggalan. Ini merupakan sumbangan kecil kami untuk membantu mengurangkan kesulitan mereka yang memerlukan. Kami turut bersama anda dan kami akan berusaha untuk terus membantu sebaik mungkin,” tambah Choong.

Pada bulan Mei yang lepas, Petron telah menganjurkan sebuah program sumbangan yang membolehkan ahli pemegang kad PMiles menderma mata ganjaran mereka kepada keluarga B40 yang memerlukan bantuan makanan.

Melalui program sumbangan ‘Petron MyKasih Jom Derma’ ini, setiap mata ganjaran yang disumbang akan ditukar kepada nilai matawang dan diserahkan kepada Yayasan MyKasih. Program ini berlangsung sehingga 31 Ogos 2021.

Melalui Yayasan tersebut, keluarga B40 boleh membeli bahan makanan dan barang keperluan lain dari lebih 250 kedai runcit termasuk Mydin, Tesco, Giant, Econsave, The Store, Aeon, 99 Speedmart dan TF Value Mart. Semua sumbangan akan diberikan resit untuk pengecualian cukai daripada Yayasan MyKasih.

Google ads
Back to top button