FORD GT HERITAGE EDITION, MODEL CUN UNTUK HORMAT FORD GT 1964
Ford terkenal sebagai pengeluar kereta penumpang seperti Focus dan Fiesta. Satu lagi segmen kenderaan Ford yang popular ialah pikap dengan model seperti F-150 dan Ranger.
Ada lagi tak model Ford yang popular? Ada, model sport Mustang. Di sebalik nama-nama tersebut Ford mempunyai sebuah lagi model yang hebat.
Model yang dimaksudkan ialah Ford GT40 dan pengeluar dari Amerika Syarikat itu sangat berbangga dengannya.
Masakan tidak, GT40 dibina untuk mengalahkan Ferrari, menang perlumbaan Le Mans 24 Jam dan Ford berjaya melakukannya.
Itu kisah puluhan tahun dulu dan walaupun telah lama bahangnya masih terasa. Legasi model itu diteruskan dengan Ford GT generasi pertama pada tahun 2004 dan dikeluarkan sehingga tahun 2006.
Ford GT generasi kedua menyusul pada tahun 2016 dan membawa adunan legasi dan aura segar masa kini.
Dengan pengaruh warisan yang kuat, Ford GT tampak berbeza dengan kereta super lain di pasaran.
Tiada lenggokan gaya Itali dan Ford GT segak dengan garis-garis keras dan menonjol, ianya adalah kereta Amerika Syarikat dan perlu menjadi Amerika Syarikat.
Terbaru Ford memperkenalkan Ford GT ’64 Prototype Heritage Edition yang dibuat sebagai penghormatan kepada model prototaip Ford GT.
Model edisi terhad ini diinspirasikan dari prototaip Ford GT 1964 yang pertama kali dipertontonkan di khalayak ramai pada Pameran Kenderaan Antarabangsa New York 1964.
Seperti yang diceritakan di atas, Ford GT menang Le Mans 24 Jam dan satu-satunya kereta super Amerika Syarikat yang menjuarai perlumbaan tersebut.
Berikut ialah ciri-ciri Ford GT ’64 Prototype Heritage Edition:
- Warna Wimbledon White dengan grafik Antimatter Blue dan racing stripe tiga jalur di atas bumbung.
- Roda 20 inci gentian karbon berwarna Antimatter Blue.
- Komponen dengan gentian karbon terdedah dan berkilat seperti splitter depan, sill tepi, tangkal cermin sisi, sirip enjin dan diffuser belakang.
- Angkup brek Brembo® dalam warna perak dan grafik hitam.
- Nat tayar berwarna hitam.
- Bahagian dalam kereta turut menggunakan gentian karbon seperti pelapik ambang pintu, tiang A dan konsol tengah.
- Kerusi gentian karbon dengan balutan Alcantara® warna Lightspeed Blue dan sulaman perak. Logo GT pada penahan kepala dan dudukan kerusi.
- Panel instrumen dibalut dengan kulit warna Ebony (hitam gelap dan coklat) dan Alcantara® warna Lightspeed Blue.
- Stereng dengan balutan Alcantara® warna Ebony dan sulaman hitam.
- Pedal penukar gear warna perak (clear) dan dikilatkan.
Sejarah prototaip Ford GT
Dengan objektif untuk mengalahkan Ferrari® dan memenangi Le Mans, Ford mula membangunkan kereta lumba sendiri pada tahun 1963.
Dalam tempoh tidak sampai setahun prototaip Ford GT dengan casis GT/101 dipertontonkan pada Pameran Kenderaan Antarabangsa New York 1964.
Ada lima prototaip Ford GT yang disiapkan dan model Ford pertama menggunakan analisis aerodinamik secara mendalam bagi mengoptimumkan prestasi kelajuan tinggi.
Usaha dan misi Ford membuahkan hasil pada Le Mans 1966 dan lebih membanggakan apabila menyapu bersih podium tempat ketiga hingga pertama.
Daripada lima buah prototaip Ford GT, hanya casis GT/105 masih wujud dengan grafik badan asal.
Casis GT/101 dan GT/102 dilupuskan selepas kemalangan ketika ujian untuk perlumbaan Le Mans dan Monza namun tetap berguna untuk penambahbaikan pada casis GT/103, GT/104 dan GT/105.
Ford GT casis GT/103 mencatatkan rekod manis apabila menang perlumbaan GT yang pertama.
Legenda Ken Miles dan Lloyd Ruby memandu dan menang pada perlumbaan Daytona® 1965 manakala casis GT/104 yang dipandu oleh Bob Bondurant dan Ritchie Ginther di tempat ketiga.
Ada dua lagi prototaip Ford GT iaitu casis GT/103 dan GT/104 yang telah dicat semula dan dipamerkan secara eksklusif di Muzium Shelby® di Colorado, Amerika Syarikat.
Ford GT 2022 sudah boleh ditempah oleh pelanggan terpilih dan pengeluaran dijadual bermula pada Januari 2022.
BACA: FORD GT CARBON – APABILA KERETA LAJU JADI LEBIH RINGAN (DAN CANTIK)
BACA: FORD GT MK II, RM4.96 JUTA SEUNIT (UNTUK LITAR SAHAJA)
BACA: FORD MUSTANG KERETA SPORTS PALING LARIS DI DUNIA PADA 2020
Ford GT ’64 Prototype Heritage Edition: