Buletin

REMAJA 19 TAHUN NAK BIKIN REKOD KELILING DUNIA GUNA PESAWAT SHARK AERO

Remaja berusia 19 tahun dari Belgium bakal mencipta rekod dunia menjadi juruterbang wanita termuda mengelilingi dunia.

Zara Rutherford berlepas dari Kortrijk pada Rabu lalu dalam cubaannya melakukan penerbangan solo sejauh 32,000 batu.

Katanya, dia menggunakan pesawat paling ringan di dunia, Shark Aero merentasi 52 negara dalam tempoh 12 minggu.

“Saya ingin mengurangkan jurang jantina dalam bidang penerbangan serta Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).

“Tujuan saya mahu memberi inspirasi kepada wanita muda untuk mengejar impian dan apa yang mereka minati,” katanya dalam hantaran di laman sesawangnya, FlyZolo seperti dipetik The National.

Rabu lalu, Rutherford memulakan penerbangan dari United Kingdom ke Aberdeen dan dijangka tiba di Dubai pada 23 Oktober sebelum kembali ke Belgium pada 4 November depan.

Pada masa ini, wanita termuda memegang rekod penerbangan solo di seluruh dunia ialah Shaesta Waiz yang berusia 30 tahun ketika melakukan penerbangannya.

Sementara itu, rekod dunia juruterbang muda lelaki pula disandang oleh Travis Ludlow pada usia 18 tahun. – BBC/HM

Google ads
Back to top button