LITAR SEPANG HAMPIR KEMBALI UNTUK F1, TUNGGU PENGUMUMAN
Litar Antarabangsa Sepang dilaporkan semakin hampir kembali menganjurkan perlumbaan Formula 1 (F1) selepas hampir sedekad, dengan hanya menunggu pengumuman rasmi daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sebelum ini, Perdana Menteri memaklumkan keputusan berhubung perkara tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat selepas kerajaan meneliti cadangan berkenaan.
Cadangan itu timbul susulan pembatalan Grand Prix Bahrain dan Arab Saudi akibat konflik di Asia Barat. Bagi memastikan kalendar F1 musim 2026 kekal mengandungi jumlah perlumbaan yang dirancang, Formula 1 dikatakan memilih Sepang sebagai lokasi gantian memandangkan litar berkenaan masih memiliki pensijilan FIA Grade 1 dan berpengalaman menganjurkan F1 selama 19 musim dari 1999 hingga 2017.
Tetapi perlumbaan itu dijangka masih menggunakan nama Bahrain Grand Prix, namun berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang. Berdasarkan laporan media antarabangsa, kos penganjuran termasuk fi kepada Formula 1 akan ditanggung oleh Bahrain, manakala Malaysia hanya menyediakan venue dan sokongan operasi. Ini bermakna kerajaan tidak perlu menanggung beban kewangan besar seperti ketika menjadi penganjur tetap F1 suatu ketika dahulu.
Sekiranya mendapat lampu hijau kerajaan, perlumbaan tersebut dijangka berlangsung pada 2 hingga 4 Oktober 2026. Buat masa ini, semua pihak hanya menantikan pengumuman rasmi daripada Perdana Menteri bagi mengesahkan penganjuran perlumbaan berprestij itu.








