
SIC BERPOTENSI JADI LOKASI UJIAN PRA-MUSIM F1 2027
Litar Antarabangsa Sepang (SIC) berpotensi kembali menjadi sebahagian daripada kalendar aktiviti Formula 1 (F1) apabila Malaysia disebut sebagai lokasi alternatif bagi ujian pra-musim 2027 sekiranya Bahrain tidak dapat menganjurkan sesi berkenaan atas faktor keselamatan.
Menurut laporan F1 Lead, ujian pra-musim yang dijadualkan berlangsung pada Februari 2027 itu berkemungkinan dipindahkan dari Bahrain ke Sepang sekiranya keadaan keselamatan di rantau Asia Barat terus menimbulkan kebimbangan.
Situasi keselamatan di Timur Tengah menjadi antara faktor yang boleh mempengaruhi perancangan F1, sekali gus membuka peluang kepada Malaysia untuk dipertimbangkan sebagai lokasi alternatif.

Sepang bukanlah nama asing dalam dunia F1 kerana litar berkenaan pernah menjadi tuan rumah Grand Prix Malaysia dari 1999 hingga 2017.
Litar sepanjang 5.543 kilometer itu turut pernah digunakan bagi sesi ujian pra-musim pasukan F1 sebelum ini.
Bagaimanapun, kemungkinan tersebut masih dalam peringkat pertimbangan dan belum disusuli sebarang pengumuman rasmi daripada pihak penganjur F1.
Sekiranya perpindahan itu direalisasikan, ia bakal membawa kembali jentera serta pasukan Formula 1 ke Malaysia, sekali gus memberikan peluang kepada peminat tempatan menyaksikan aksi sukan permotoran berprestij dunia itu di Sepang.









