
NI SEBAB BOTTAS KAYUH BASIKAL DARI SEPANG KE SINGAPURA
Pemandu pasukan Cadillac Formula 1, Valtteri Bottas membuktikan bahawa kecergasannya bukan hanya diperlukan untuk mengendalikan jentera F1 apabila dia memilih untuk mengayuh basikal sejauh kira-kira 350 kilometer dari Malaysia ke Singapura selepas berakhirnya Grand Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang.
Bottas melakukan perjalanan tersebut bersama pasangannya yang juga merupakan pelumba basikal profesional, Tiffany Cromwell. Kedua-duanya memilih laluan darat menggunakan basikal gravel dan bukannya menaiki penerbangan seperti kebanyakan anggota pasukan Formula 1 yang lain.
Berdasarkan perkongsian perjalanan mereka, Bottas sudah menyelesaikan jarak 218.51 kilometer daripada keseluruhan kira-kira 350 kilometer, berbaki sekitar 131.49 kilometer lagi sebelum tiba di Singapura.
Pada hari pertama, Bottas dilaporkan mengayuh sejauh 56.6 kilometer dalam tempoh kira-kira dua jam lapan minit, dengan perjalanan membawa mereka ke arah Port Dickson. Hari kedua pula menyaksikan Bottas mengharungi jarak lebih jauh iaitu sekitar 161.91 kilometer dalam tempoh lima jam 45 minit sebelum meneruskan perjalanan ke arah Muar.
Perjalanan tersebut bukan sekadar menggunakan jalan raya utama kerana Bottas turut memilih laluan berbatu yang kurang digunakan. Dia menggunakan sebuah basikal gravel Canyon Grail CFR bagi mengharungi perjalanan merentas beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia sebelum meneruskan perjalanan ke Johor dan seterusnya memasuki Singapura.
Bagi Bottas, aktiviti berbasikal bukan sekadar hobi untuk mengisi masa lapang. Pemandu Finland itu sememangnya aktif dalam dunia berbasikal gravel dan pernah menyertai perlumbaan pada peringkat kompetitif, termasuk memperoleh kelayakan ke UCI Gravel World Championships.
Kecenderungan Bottas terhadap sukan berbasikal juga bukan sesuatu yang baharu. Dia sering berkongsi aktiviti berbasikalnya di media sosial dan pernah menyertai beberapa acara gravel yang memerlukan tahap ketahanan fizikal yang tinggi.
Kayuhan dari Malaysia ke Singapura kali ini bagaimanapun menjadi lebih menarik kerana ia dilakukan sejurus selepas Bottas mengharungi perlumbaan Formula 1 di Sepang. Dalam perlumbaan tersebut, Bottas tidak berjaya menamatkan perlumbaan selepas keluar ke kawasan gravel pada peringkat awal perlumbaan.
Lebih mencabar, dia perlu memastikan perjalanan tersebut selesai mengikut jadual kerana Grand Prix Singapura berlangsung hanya beberapa hari selepas perlumbaan di Sepang. Aktiviti media Formula 1 bermula pada Khamis, manakala sesi latihan bebas dijadualkan berlangsung pada Jumaat.
Ini bermakna Bottas bukan sahaja perlu mempunyai stamina untuk mengharungi jarak sekitar 350 kilometer, tetapi juga perlu memastikan dirinya cukup pulih sebelum kembali ke dalam kokpit jentera Formula 1 untuk menghadapi perlumbaan seterusnya.








