Buletin

OCON GUGUR, RYO JADI PEMANDU UTAMA HAAS GP MEXICO

Pasukan Haas membuat keputusan mengejut menjelang Grand Prix Mexico City apabila mengumumkan pelumba simpanan mereka Ryo Hirakawa menggantikan Esteban Ocon untuk baki hujung minggu perlumbaan. Pengumuman yang dibuat pada Sabtu 31 Oktober 2026 itu menyaksikan pelumba dari Jepun berkenaan diberikan peluang membuat penampilan sulung dalam perlumbaan rasmi Formula 1.

Hirakawa mengambil alih tempat Ocon bermula sesi latihan bebas ketiga (FP3), diikuti sesi kelayakan dan perlumbaan utama yang berlangsung pada Ahad. Pertukaran tersebut turut disahkan oleh FIA, sekali gus menjadikan keputusan Haas itu antara perkembangan paling menarik menjelang perlumbaan di Mexico.

Apa yang menimbulkan tanda tanya ialah Haas tidak memberikan penjelasan terperinci mengenai sebab sebenar Ocon digantikan. Pasukan itu bagaimanapun menjelaskan bahawa keputusan tersebut bukan disebabkan masalah kesihatan pelumba dari Perancis berkenaan.

Ryo Hirakawa bukanlah nama asing dalam dunia perlumbaan antarabangsa dimana pemandu berusia 32 tahun itu mempunyai pengalaman luas dalam perlumbaan ketahanan dan pernah muncul juara FIA World Endurance Championship (WEC) sebanyak dua kali pada 2022 dan 2023.

Beliau turut mencatat pencapaian besar apabila memenangi perlumbaan 24 Hours of Le Mans pada 2022 bersama Toyota Gazoo Racing. Pengalaman tersebut menjadikan Hirakawa antara pelumba Jepun yang mempunyai reputasi kukuh dalam perlumbaan endurance, walaupun peluang untuk beraksi dalam Formula 1 sebagai pelumba utama masih belum pernah direalisasikan sebelum ini.

Hirakawa menyertai Haas sebagai pelumba simpanan sejak 2025 dan sebelum ini sudah diberikan beberapa peluang untuk memandu jentera Formula 1. Beliau juga pernah menjalani sesi latihan bebas bersama beberapa pasukan termasuk McLaren dan Alpine, selain mempunyai pengalaman memandu jentera Haas dalam sesi FP1.

Malah Hirakawa sudah berada di dalam kokpit Haas VF-26 pada Jumaat lalu apabila menyertai sesi latihan bebas pertama GP Mexico City. Beliau mencatatkan kedudukan ke-15 sebelum menerima panggilan mengejut untuk mengambil alih tempat Ocon bagi baki hujung minggu perlumbaan.

Walaupun mempunyai pengalaman luas dalam perlumbaan profesional, Formula 1 tetap memberikan cabaran berbeza kerana Hirakawa perlu menyesuaikan diri dengan jentera, strategi perlumbaan dan tahap persaingan yang sangat tinggi dalam tempoh masa singkat, terutama apabila beliau hanya mempunyai sesi FP3 sebelum menghadapi kelayakan dan perlumbaan sebenar.

Sementara itu keputusan Haas menggantikan Ocon turut mengundang spekulasi mengenai kemungkinan wujudnya masalah dalaman antara pelumba tersebut dengan pasukan. Ketika sesi FP2, Ocon dilaporkan kurang berpuas hati dengan arahan pasukan yang memintanya menggunakan tayar medium, sedangkan beliau mahu meneruskan penggunaan tayar soft.

Terdapat juga laporan mengenai pertukaran kata-kata yang agak tegang antara Ocon dengan jurutera perlumbaannya Laura Mueller, menerusi komunikasi radio. Bagaimanapun tiada pengesahan bahawa insiden tersebut mempunyai kaitan secara langsung dengan keputusan Haas menggantikan Ocon.

Ketua pasukan Haas, Ayao Komatsu turut menafikan laporan bahawa beliau pernah bertengkar dengan Ocon ketika Grand Prix Miami pada Mei lalu. Sehingga kini, pasukan itu masih belum memberikan sebab khusus yang mendorong keputusan menggantikan pelumba utama mereka pada hujung minggu perlumbaan tersebut.

Perkembangan ini juga menarik perhatian kerana Ocon sememangnya dijadualkan meninggalkan Haas pada penghujung musim 2026. Pasukan itu sudah mengesahkan pelumba Brazil, Rafael Câmara akan menyertai mereka bagi musim 2027 selepas dinaikkan daripada Formula 2. Haas turut mempunyai Jack Doohan sebagai pelumba simpanan selain Hirakawa.

Dari sudut kejuaraan konstruktor, Haas ketika itu berada di kedudukan ketujuh dengan mengumpulkan 30 mata selepas 18 perlumbaan. Mereka mempunyai kelebihan tujuh mata berbanding Audi yang berada di belakang manakala Ollie Bearman menyumbangkan 23 daripada keseluruhan mata pasukan tersebut.

Apa yang pasti, kemunculan Hirakawa memberikan satu lagi peluang kepada pelumba Jepun untuk membuktikan kemampuan mereka di pentas Formula 1. Pengalamannya sebagai juara dunia endurance dan pemenang Le Mans memberikan asas yang kukuh, namun cabaran sebenar adalah untuk menyesuaikan diri dengan tuntutan perlumbaan Formula 1 yang jauh berbeza.

Google ads
Back to top button