
ZEEKR MALAYSIA RAI MERDEKA BERSAMA KOMUNITI LARIAN MALAYSIA MARATHON 2026
Zeekr Intelligent Technology Malaysia (Zeekr Malaysia) menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ke-69 menerusi penyertaan dalam Malaysia Marathon 2026, sekali gus menandakan perjalanan hampir dua tahun jenama kenderaan elektrik premium itu di pasaran tempatan.
Sebagai penaja utama bagi kategori larian 10 kilometer (10KM), Zeekr Malaysia membawa lebih 100 tetamu jemputan yang terdiri daripada pemilik kenderaan, wakil media serta rakan niaga untuk turut serta dalam acara tersebut bersama ribuan peserta lain.
Model Zeekr 7X turut memainkan peranan sebagai kenderaan rasmi pendahulu dan kenderaan penentu masa sepanjang acara berlangsung.

Penyertaan itu dilihat sebagai satu pendekatan berbeza bagi meraikan Hari Kebangsaan, bukan sekadar melalui penajaan acara, tetapi dengan menggalakkan penglibatan komuniti dalam aktiviti yang menyatukan rakyat Malaysia.
Inisiatif tersebut selari dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini, “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, yang menekankan aspirasi negara ke arah pembangunan yang inklusif, progresif dan harmoni.
Melalui acara larian itu, peserta daripada pelbagai latar belakang dapat berkumpul dan meraikan semangat perpaduan dalam suasana yang sihat dan positif.
Selain itu, kerjasama bersama Malaysia Marathon 2026 dan Tourism Malaysia turut membuka peluang kepada Zeekr Malaysia untuk menyokong pembangunan sektor pelancongan sukan negara.

Acara yang diperkenalkan semula sebagai inisiatif berimpak tinggi sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada sukan, malah menggabungkan elemen pelancongan dan budaya bagi menarik penyertaan dari dalam serta luar negara.
Penganjur menyasarkan kehadiran kira-kira 25,000 pelari dari seluruh dunia, sekali gus menjadikan acara tersebut sebagai platform penting untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi acara sukan bertaraf antarabangsa.
Pengurus Besar Zeekr Intelligent Technology Malaysia, Eddy Lu berkata, Hari Kebangsaan merupakan detik istimewa yang menyatukan rakyat dalam meraikan identiti dan kebanggaan sebagai warga Malaysia.
Menurut beliau, penyertaan dalam Malaysia Marathon 2026 memberi peluang kepada syarikat untuk berkongsi sambutan tersebut bersama pelanggan, rakan kongsi dan komuniti yang telah menyokong perkembangan jenama itu sejak memasuki pasaran tempatan.
“Acara ini membolehkan kami meraikan semangat Merdeka melalui sukan sambil mengeratkan hubungan dengan komuniti. Ia juga mencerminkan komitmen kami untuk terus berkembang bersama Malaysia,” katanya.
Sambutan Merdeka Zeekr Malaysia turut diperluaskan melalui konvoi khas kenderaan yang bergerak dari Pavilion Kuala Lumpur, menampilkan semangat patriotisme di sekitar ibu negara.
Di lokasi sama, beberapa pemilik Zeekr turut mengambil bahagian dalam pameran khas bertemakan Hari Kebangsaan yang menampilkan ketiga-tiga model Zeekr dengan pelekat grafik Merdeka yang direka khusus untuk acara tersebut.
Melalui pelbagai aktiviti yang dianjurkan, Zeekr Malaysia berharap dapat terus mendekati masyarakat dan memainkan peranan aktif dalam program yang menyatukan rakyat, sambil mengukuhkan lagi kehadirannya dalam industri automotif negara.








