Buletin

LYNK & CO, SYARIKAT BAHARU DENGAN JUALAN PALING PESAT DI DUNIA

Selain Volvo Cars yang mencatat prestasi cemerlang pada tahun lalu dengan jualan melebihi 600,000 unit, ada sebuah lagi syarikat di bawah Kumpulan Automotif Geely yang hebat pencapaiannya.

Lynk & Co mengumumkan prestasi jualan luar biasa untuk sebuah jenama baharu pada tahun pertama operasi.

Pada awal tahun 2018, syarikat ini mencatat jualan paling pantas dalam sejarah dan menutup tirai tahunan dengan kejayaan menjual 120,414 unit kenderaan.

Jumlah tersebut hanya dicapai di China dan menunjukkan kekuatan pasaran di negara dengan lebih 24 juta unit kenderaan setiap tahun.

Lynk & Co adalah syarikat yang baru sahaja ditubuhkan pada tahun 2016. Syarikat ini sebenarnya adalah manifestasi hubungan di antara Volvo dan Geely di mana Lynk & Co berada di antaranya.

Dalam tempoh tiga tahun, Lynk & Co pantas berlari daripada idea yang diasaskan dari Gothenburg, Sweden menjadi jenama paling pantas berkembang di dunia dengan 221 pusat jualan dibuka di China.

Sasaran pembeli produk syarikat ini adalah mudah iaitu golongan muda profesional. Jadi tidak hairan kenapa model yang dikeluarkan semuanya hadir dengan konsep funky dan ala hipster.

Model yang ditawarkan juga mudah dan tidak berselirat. Namanya lagi ringkas iaitu 01 (SUV), 02 (SUV kompak dan 03 (sedan).

Ketiga-tiga model ini menggunakan platform Compact Modular Architecture (CMA) yang dibangunkan Volvo.

Selain model yang funky, pusat jualan jenama ini juga tampil senada. Ia tidak lagi membawa konsep pusat jualan tradisional tetapi lebih kepada suasana unik seperti kafe, panggung wayang dan kawasan permainan kanak-kanak.

Setelah mengecapi kejayaan di China, fokus Lynk & Co sekarang ialah pengembangan di pasaran Eropah.

Cawangan awal akan dibuka pada tahun 2020 di beberapa bandar utama seperti Amsterdam, Berlin, Brussels, Stockholm, London dan Barcelona.

Satu lagi perkembangan mengejutkan apabila unit ujian Lynk & Co 01 dan 02 sudah berada di atas jalan raya negara kita dan gambarnya sudah bertebaran di media sosial.

Apa pula projek Geely dan Proton kali ini? Tak kan uji saja-saja?

BACA: VOLVO XC40 DINOBAT SEBAGAI CAR OF THE YEAR 2018-2019 DI JEPUN

BACA: INI ADALAH ANTARA MODEL-MODEL YANG DIJANGKA DIHASILKAN PROTON

Google ads
Back to top button