Buletin

APLIKASI VOLVO KINI SOKONG LEBIH 20,000 TESLA SUPERCHARGER

Volvo Cars bakal memperluaskan akses pengecasan untuk pengguna kenderaan elektriknya di Eropah menerusi integrasi rangkaian Tesla Supercharger bermula suku keempat tahun ini.

Melalui aplikasi Volvo, pemilik model elektrik Volvo boleh menggunakan lebih 20,000 stesen pengecas Tesla yang tersedia di seluruh benua tersebut.

Sebahagian besar kemudahan pengecasan itu terletak di pasaran utama seperti Jerman, Perancis, Norway, United Kingdom, Sweden, Itali dan Sepanyol.

Langkah ini dijangka memudahkan perjalanan jarak jauh serta meningkatkan kemudahan pengecasan untuk pengguna EV Volvo.

Selain Eropah, Volvo Cars turut merancang untuk menggunakan standard pengecasan North American Charging System (NACS) bagi beberapa model terpilih di rantau Asia-Pasifik, termasuk Jepun dan Korea Selatan menjelang 2029.

Dengan perubahan itu, pengguna Volvo di kedua-dua negara berpeluang menggunakan rangkaian Tesla Supercharger pada masa akan datang.

Menurut ketua penyelesaian tenaga Volvo Cars, Alejandro Castro Pérez, pengguna Volvo kini sudah mempunyai akses kepada lebih tiga juta titik pengecasan di seluruh dunia menerusi aplikasi Volvo.

Penambahan Tesla Supercharger di Eropah akan memperkukuhkan lagi akses kepada rangkaian pengecas pantas yang terkenal dan meluas.

Pada masa ini, aplikasi Volvo Cars sudah menyokong sekitar 120,000 titik pengecasan di Amerika Utara termasuk Tesla Supercharger, selain lebih 1.2 juta lokasi pengecasan di seluruh Eropah.

Volvo berkata usaha mereka tertumpu kepada menjadikan penggunaan kereta elektrik lebih mudah melalui sistem pengecasan awam yang lebih seragam, praktikal dan boleh dipercayai di pelbagai pasaran.

Google ads
Back to top button