
MALAYSIA RANGKA HALA TUJU BAHARU INDUSTRI AUTOMOTIF
Malaysia sedang merangka arah baharu yang lebih lestari dan berdaya saing bagi industri automotif negara melalui semakan pertengahan dasar, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz di Parlimen pada Isnin.
Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020), yang dilancarkan lima tahun lalu, bertujuan menjadikan Malaysia sebagai hab automotif serantau berasaskan teknologi, inovasi serta penambahan nilai domestik.
Antara tumpuan utama dasar ini ialah pembangunan kenderaan cekap tenaga (EEV), kenderaan elektrik (EV), teknologi pemanduan autonomi serta aplikasi Revolusi Industri 4.0.

Bagi memastikan dasar tersebut kekal relevan dengan perkembangan teknologi dan tuntutan pasaran global, MITI bersama Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) kini mengetuai proses semakan dengan melibatkan pemain industri, pembuat dasar serta pihak berkepentingan.
Industri automotif negara mencatat pencapaian bersejarah pada 2024 apabila jumlah jualan kenderaan baharu mencecah 816,747 unit, kali pertama melepasi angka 800,000, sekali gus menempatkan Malaysia di kedudukan kedua terbesar pasaran kereta penumpang di ASEAN.
Bagi kategori EEV termasuk kenderaan elektrik bateri (BEV) dan hibrid, jualan meningkat kepada 46,403 unit berbanding 35,723 unit pada 2023.
Peningkatan ini didorong oleh peluasan rangkaian infrastruktur pengecasan di seluruh negara. – The Investor
- BACA: HYUNDAI SEDAN ELEKTRIK BAHARU SEDIA TAWAN PASARAN CHINA
- BACA: JAECOO 5 EV MENDARAT DI THAILAND – DUA VARIAN, JARAK GERAK 400KM, HARGA BERMULA RM72K
- BACA: S1 LM IALAH MCLAREN F1 MODEN DARI GORDON MURRAY – INI BARU SPESIAL
- BACA: MITSUBISHI BAWA CABARAN IKONIK “RED PEAK” KE KUCHING 23 DAN 24 OGOS INI









