
MAZDA3 INI GUNA TEKNOLOGI TANGKAP KARBON, 804g CO₂ BERJAYA DISIMPAN!
Mazda Motor Corporation mengumumkan kemajuan terbaharu dalam pembangunan sistem penangkapan karbon dalam kenderaan. Teknologi ini dikenali sebagai Mazda Mobile Carbon Capture.
Pengumuman ini dibuat selepas mereka berjaya membuktikan keupayaan menyimpan karbon dioksida (CO₂) ketika pemanduan.
Ujian demonstrasi tersebut dijalankan pada Super Taikyu Series 2026 Pusingan 3 yang berlangsung dari 5 hingga 7 Jun 2026.
Kejayaan itu merupakan satu lagi langkah penting ke arah penggunaan teknologi berkenaan serta sasaran Mazda untuk mencapai mobiliti karbon negatif pada masa hadapan.
Apa itu Mazda Mobile Carbon Capture?
Mazda memperkenalkan teknologi Mazda Mobile Carbon Capture pada JAPAN MOBILITY SHOW 2025 dengan matlamat merealisasikan mobiliti yang mampu mengurangkan CO₂ semakin banyak sesebuah kenderaan dipandu menjelang 2035.
Secara ringkas, teknologi penangkapan karbon atau carbon capture berfungsi dengan menangkap CO₂ yang terhasil daripada operasi enjin sebelum gas tersebut dilepaskan ke atmosfera.
Gas yang ditangkap kemudiannya boleh disimpan untuk pengurusan atau penggunaan lanjut.
Kelebihan utama teknologi ini ialah ia berpotensi mengurangkan jumlah pelepasan karbon keseluruhan kenderaan dan dalam keadaan tertentu boleh membantu mencapai keadaan karbon negatif apabila jumlah CO₂ yang disingkirkan melebihi jumlah pelepasan yang dihasilkan.
Ujian dijalankan menggunakan kereta lumba

Bagi demonstrasi terbaharu ini, Mazda melengkapkan kereta lumba MAZDA SPIRIT RACING 3 Future concept nombor 55 dengan sistem yang terdiri daripada penyahlembap, penyerap CO₂ yang mempunyai fungsi penyerapan dan penyahserapan, serta tangki simpanan CO₂.
Jentera itu menggunakan bahan api biodiesel HVO (Hydrotreated Vegetable Oil), iaitu bahan api neutral karbon yang sudah digunakan secara praktikal di Eropah.
Seperti ujian terdahulu, Mazda menggunakan zeolit sebagai bahan penyerap CO₂. Zeolit mempunyai struktur berliang yang membolehkannya menyerap CO₂ dengan berkesan dan melepaskan semula gas tersebut apabila dipanaskan.
Berjaya lengkapkan keseluruhan proses penangkapan dan penyimpanan CO₂
Dalam ujian kali ini, Mazda berjaya menunjukkan keseluruhan proses operasi sistem tersebut buat kali pertama.
CO₂ yang diserap oleh zeolit dipanaskan menggunakan haba daripada gas ekzos ketika pemanduan bagi membolehkan gas tersebut dilepaskan semula.
CO₂ yang dibebaskan kemudian dikumpulkan menggunakan pemampat elektrik sebelum disimpan ke dalam tangki khas.
Melalui proses yang diulang sepanjang perlumbaan 24 jam itu, Mazda berjaya memulihkan sebanyak 804g CO₂.
Jumlah tersebut jauh lebih tinggi berbanding 84g yang dicatatkan semasa ujian pertama pada November 2025, sekali gus mewakili peningkatan kira-kira 9.6 kali ganda.

Perbandingan ujian pertama dan kedua
Mazda turut mendedahkan peningkatan ketara yang dicapai antara ujian pertama pada November 2025 dan ujian kedua pada Jun 2026.
Ujian pertama (November 2025)
- Sistem hanya menggunakan penyerap CO₂ dengan fungsi penyerapan
- Jumlah CO₂ yang berjaya dipulihkan ialah 84g
Ujian kedua (Jun 2026)
- Sistem dilengkapi penyahlembap
- Penyerap CO₂ mempunyai fungsi penyerapan dan penyahserapan
- Tangki simpanan CO₂ ditambah bagi membolehkan gas yang dipulihkan disimpan
- Jumlah CO₂ yang berjaya dipulihkan meningkat kepada 804g
Peningkatan fungsi sistem tersebut membolehkan jumlah CO₂ yang dipulihkan meningkat kira-kira 9.6 kali ganda berbanding ujian pertama.
Sasaran karbon negatif semakin hampir
Selain menguji fungsi penyimpanan CO₂, Mazda turut mencapai satu lagi pencapaian penting.
Hasil gabungan penggunaan HVO (Hydrotreated Vegetable Oil) dan sistem penangkapan karbon tersebut membolehkan jumlah pengurangan serta pemulihan CO₂ melebihi sasaran pemulihan yang diandaikan untuk penggunaan biasa kenderaan produksi Mazda.
Keputusan itu mengesahkan potensi untuk mencapai keadaan karbon negatif pada kenderaan produksi, walaupun hanya untuk tempoh yang singkat.
Berdasarkan pencapaian itu, syarikat berkenaan akan memulakan cabaran baharu untuk mencapai karbon negatif pada kereta lumba yang beroperasi dalam keadaan beban lebih tinggi dan lebih mencabar.
Matlamat seterusnya adalah mencapai keadaan karbon negatif dalam tempoh singkat semasa Super Taikyu Series Pusingan 7 yang dijadual berlangsung pada November 2026.
Mazda terus perhalusi teknologi
Mazda menyatakan bahawa syarikat akan terus bekerjasama dengan pelbagai rakan kongsi bagi mempertingkatkan teknologi dan peralatan berdasarkan pengetahuan yang diperoleh sepanjang pembangunan sistem tersebut.
Usaha itu merupakan sebahagian daripada komitmen Mazda untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat mobiliti yang lebih lestari pada masa hadapan.









